Amarah Tertahan, Syurga Tergapai

Posted on Updated on

(Artikel kedua ketika di ITQAN selepas Antara Kata-kata & Tulisan, namun tidak sempat disiarkan)

Kalau anda inginkan sesuatu artikel yang sarat tersusun fakta dengan kalimah bombastik, abaikanlah coretan ini. Pertamanya saya terasa buntu  apabila diminta menyumbang lagi. Kali pertama menulis dulu memang bersemangat, tapi kali ini perasaan tidak yakin, mati idea mula menjalar dalam alfa beta saya. Susah juga mahu menterjemahkan isi hati  dan pandangan dalam bentuk coretan. Rasa macam terperangkap pula dengan jerat artikel yang pertama.

Lalu, kebekuan otak  ini  cuba juga dicair-cairkan agar mudah diperah. Nasiblah tidak sampai kepala dihantuk-hantukkan hanya untuk  membangkitkan idea dan  mood untuk mencoret. Sebagai  manusia yang bukan optimis dan sedikit pesimis, harapan  pada sokongan manusia dan alam sekeliling amat perlu dalam menempuh kehidupan dengan lebih yakin. Perhatian dan sokongan ikhlas pasti dihargai manakala kemarahan dan kebencian seseorang boleh menekan dalam diri. Jadi permintaan dan sedikit penghargaan dari beberapa rakan guru dan pelajar tidak perlu disia-siakan, malah lulur terapi bagi diri untuk segar melangkah.

Kemarahan yang meletus bagai apiAdalah baiknya menulis sesuatu yang telah dimiliki atau bercita-cita untuk memilikinya. Lalu terbayang dan memikirkan ketika kecil saya teramatlah suka membakar sampah. Walaupun bahang panasnya terasa sebal, namun menyentap satu kepuasan apabila sampah yang tadinya berlonggok dari pelbagai jenis, terbakar dan hancur menjadi puing-puing abu. Begitulah hebatnya api yang diciptakan Allah. Iblis merasa sombong juga kerana merasa mulia dirinya dijadikan dari api. Malah api dianggap salah satu unsur yang berada dalam jiwa kita. Api neraka, api cinta, api kemarahan dan apa saja subjek kepanasan boleh dikaitkan dengan api. Malah Nabi sendiri mengaitkan demam panas dengan api neraka yang menjadi perbahasan culamak adakah ianya hakikat ataupun sekadar majaz.

Ini bukan artikel subjek sains mengenai api, tetapi perasaan api kemarahan yang diberikan oleh Allah kepada kita sebagai ujian kehidupan. Dalam menghadapi karenah manusia sekeliling, pasti ada yang mengundang kemarahan. Ketika kecil ibubapa orang yang pertama kita marah kerana mungkin tidak memahami kita sedang kelaparan atau kepanasan. Kemudian adik beradik dan rakan pula menjadi mangsa. Apabila memasuki alam persekolahan, selain rakan yang tidak sekepala, guru yang memberi ilmu juga termasuk dalam senarai panjang orang yang patut kita marahkan. Silap-silap keluar bahasa bunga tahi ayam di belakang atau paling kurang tarik muka, walaupun kita belajar hari-hari menadah ayat-ayat Quran dan hadis.  Apabila bekerja, ketua atau orang bawahan pula dianggap orang yang tidak faham bahasa dan sangat melelahkan, malah seterusnya individu-individu  yang mempercepatkan kadar kerutan di muka kita ini, di samping menambah risiko kita sakit jantung, akan makin bercambah dan bertambah. Maknanya kemarahan itu pasti tetap ada dan tidak akan hilang, meskipun kita gila.

Apa yang perlu, bagaimana kita mengawal  dan melawan kemarahan. Mengapa bila kita marah kita akan tinggikan suara Buruknya muka bila marahsedangkan orang itu hanya sejengkal dengan kita? Sebenarnya apabila kita marah maka nurani kita semakin jauh dengannya biarpun fizikal kelihatan rapat. Silap-silap kalah suara himar (keldai) bunyinya. Belum lagi nilai muka buruk rupa masam kalah cuka. Teringat seorang rakan saya, kalau sudah berkerut dahinya, angkat kaki sajalah kerana tiada kesanggupan melihat perubahan mukanya. Banyak filem menjadikan marah satu elemen impak maksima untuk jalan cerita yang boleh dilihat contohnya seperti Hulk, kalau marah boleh membesar sampai koyak-koyak baju, muka jadi brutal dan warna pun bertukar hijau. Bayangkan kalau semua manusia boleh berubah fizikal bila kemarahan menyala, akan  haru biru dunia.

Namun itulah ujian yang Allah berikan kepada kita agar dimanupulasikan untuk mengejar tingkat muttaqin. Apabila datang kemarahan barulah kita faham erti kesabaran dan kemaafan. Cuba perhatikan (tadabbur) ayat 134 Ali Imran:

وَٱلۡڪَـٰظِمِينَ ٱلۡغَيۡظَ وَٱلۡعَافِينَ عَنِ ٱلنَّاسِ‌ۗ وَٱللَّهُ يُحِبُّ ٱلۡمُحۡسِنِينَ 

“…dan orang yang menahan marahnya dan memaafkan orang. Allah menyukai orang-orang yang membuat kebajikan.”

Allah tidak menyebut ciri muttaqin tiada perasaan marah, tetapi mereka antara yang  berjaya menahan dan mengawal api kemarahan dengan  menjiruskan air kemaafan. Janjinya adalah:

وَجَنَّةٍ عَرۡضُهَا ٱلسَّمَـٰوَٲتُ وَٱلۡأَرۡضُ أُعِدَّتۡ لِلۡمُتَّقِينَ

“…Syurga yang luasnya seluas langit dan bumi yang disediakan untuk orang-orang yang bertakwa” 133 Ali Imran.

Seorang hamba berjaya dibebaskan hanya kerana bijak meredakan kemarahan  tuannya dengan  ayat 134 itu selepas ketidaksengajaan melakukan kesalahan. Malah saidina Umar r.a apabila memeluk Islam, sifat kemarahannya tidak hilang, tetapi disalurkan pada yang sepatutnya terutama hal-hal kehinaan terhadap Islam,  dan dikawal dengan iman sepenuhnya.

أن رجلا قال للنبي صلى الله عليه وسلم أوصني قال : لا تغضب . فردد مرارا قال : لا تغضب

“Sesungguhnya seseorang berkata kepada nabi, berilah wasiat kepadaku. Sahut nabi : Janganlah engkau marah. Kemudian ia mengulangi beberapa kali. Sabdanya : Janganlah engkau marah” – Bukhori

Renungan KemarahanTiada hadis yang meminta kita marah, kerana nabi tahu kemarahan tidak payah disuruh-suruh dan setiap manusia mempunyai sifat tersebut. Hanya pengendalian dan kawalannya yang menunjukkan dan menentukan kematangan seseorang yang berjiwa besar.

Imam Ghazali berkata, kemarahan manusia itu ada tiga jenis. Ada yang mudah marah tetapi mudah tenang dan hilang. Ada yang lambat marah, tetapi bila marah lambat pula redanya. Akhirnya seseorang yang sukar marah tetapi mudah pula hilangnya dan inilah orang yang terpuji. Bahagianya kalau kita dari golongan yang ketiga.

Kalau tiada kemarahan, dayuslah namanya, takkanlah hendak tersenyum sahaja sedangkan hati bengkek” Benar, kemarahan itu perlu, tetapi bertempat dan betul tujuannya. Dalam erti untuk mengajar, Nabi pernah memarahi  imam yang memanjang-manjangkan bacaannya, pernah marah ketika melihat ada kahak di dalam masjid, pernah memarahi sahabat yang mengejek sahabat yang lain, tetapi cukup dengan berhati-hati bersesuaian dengan doanya.

أسألك كلمة الحق في الغضب والرضا

“Aku memohon pada Mu kalimat kebenaran ketika dalam kemarahan dan keredhaan”

Bila ditinjau jendela luar, kita rakyat marhein masih dilanda kemarahan dengan dahulunya harga minyak yang pernah melambung.  Kini yag terhangat isu politik kotor, rampasan kuasa dan fitnah yang amat mengecewakan. Segala teori dan analisa akan dibentangkan dalam sembang-sembang kosong, sekurang-kurangnya kita tidak dikatakan ketinggalan. Akhirnya isu ummah menjadi terpencil dan bagai makin mengecil ruang untuk kita melepaskan kemarahan kita terhadap perlakuan Yahudi atas saudara kita di Palestin, penindasan di Iraq, Afganistan dan seujian dengannya. Inilah antara kemarahan yang perlu dibangkitkan dalam diri kita agar kita turut merasai penderitaan mereka di samping mengampil peduli tentang isu ummah ini. Bersambung…

2 thoughts on “Amarah Tertahan, Syurga Tergapai

    najib said:
    May 23, 2009 at 10:45 pm

    hebat,tahniah!ana sentiasa tertunggu2 artikel dari anta

      tintataghyir responded:
      May 24, 2009 at 3:21 am

      Jangan macam tu. Ana baru sangat menulis. Apapun syukran bagi sokongan.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s