Cinta Yusuf Tidak Berakhir?

Posted on Updated on

HatiSurah Yusuf adalah satu bentuk penceritaan yang hebat karya dari yang Maha Hebat. Kisahnya mengajak seseorang pembaca itu memikir dan bebas melihat kisah itu dari sudut tema mana yang ingin diangkat. Sangatlah menarik kelas penulisan berdasarkan surah Yusuf yang dianjurkan oleh PTS baru-baru ini. Seorang peserta kursus telah bertanya dengan Puan Ainon, dengan lebih kurang begini, “Adakah perlu kita mengarang dengan mengakhiri cerita tanpa bersatu? Bukankah dalam surah Yusof, Nabi Yusof tidak dinyatakan berkahwin dengan Zhulaikha?”

Persoalan itu juga sangat menarik perhatian saya seakan untuk menjawabnya. Seorang rakan peserta juga bertanya kepada saya, bagi mendapatkan kepastian, “Ustaz, betul kah Nabi Yusuf tidak berkahwin dengan Zhulaikha?” Jawab saya, “Wallahua’lam, tetapi dalam al-Quran tidak ada dinyatakan.”

Rupanya ada yang melihat kisah Nabi Yusof tidak mempunyai pengakhiran kerana tergantungnya kisah hubungan Nabi Yusof dengan Zhulaikha. Apabila mereka meneliti kisah itu melalui al-Quran itu sendiri, pasti tercari-cari sehingga ke akhir surah bagaimanakah pengakhiran cinta terlarang tersebut. Plot ayat manakah yang akan membenarkan lambakan kisah cinta Nabi Yusof yang pernah dibaca sebelum ini. Namun sayang hingga ke akhir surah, tiada disebut perkahwinan mereka seperti yang sering mereka dengari dan diungkapkan pula dalam doa majlis perkahwinan. Betapa hebatnya kesan elemen cinta dalam surah Yusof sehingga ada yang mengangkatnya sebagai tema surah. Namun, adakah hanya sekadar plot nekad seorang  isteri pembesar dan cintanya yang teramat pada seorang pemuda itu telah menjadikan surah ini sebagai satu hiburan dan kekuatan kepada Nabi s.a.w  tatkala kesedihan? Oleh itu apakah kekuatan kisah ini dan apakah tema yang mahu diangkat oleh al-Quran mengenai surah ini?

Pandangan Umum

Di kalangan umat Islam, Nabi Yusuf dipandang dari sudut yang pelbagai dan berbeza kerana karekternya yang begitu variasi. Malah kadangkala diangkat begitu tinggi tentang sesuatu keistimewaannya sehingga menenggelamkan tugas dan tujuan kehidupannya sebagai penyambung risalah kenabian. Tugas yang memerlukan beliau menyampaikannya dalam apa cara dan keadaan sekalipun.

Kisah Nabi Yusof yang kita tahu, disulam terlalu rapat dengan manik-manik cinta dan ketampanan seorang pemuda. Maka ramailah bakal ibu ketika mengandung, mengamalkan bacaan surah Yusof bagi mengharap anak yang cantik. Pada masyarakat kita Nabi Yusuf tidak lebih hanya dikenali sebagai nabi yang memiliki ketampanan yang mampu mencairkan hati wanita sehingga digoda oleh isteri tuannya sendiri. Malah untuk lebih mengasyikkan, ia dikaitkan dengan lambang pencintaan  suci antara beliau dengan wanita tersebut yang dikenali sebagai Zhulaikha yang langsung tidak diceritakan plotnya di dalam al-Quran dan tidak pasti sejauh mana kesahihan sumbernya.

Amatlah menyedihkan, apabila kesungguhan dakwahnya yang tidak mengira tempat dan golongan masyarakat, kebijaksanaannya yang penuh berhikmah mengikut situasi, kata-katanya yang cukup berhati-hati, ditenggelamkan oleh cerita-cerita yang ditokok tambah yang tiada diketahui segala jelas sumber pengambilannya.

hearts121Adalah menjadi tanggungjawab kita untuk membangkitkan semula keghairahan kita pada cerita nabi Yusuf a.s pada sudut yang sepatutnya diambil pengajaran. Perlulah melihatnya sebagai satu contoh realiti pendakwah yang gigih dan memiliki keikhlasan yang tinggi. Dakwah merupakan satu tanggungjawab yang perlu dipikul oleh setiap muslim. Ia menjadi kelangsungan agama ini tersebar dan terpelihara sepanjang zaman. Para nabi yang membawa risalah kenabian tidak mewariskan harta dan kemewahan. Mereka hanya meletakkan diri sebagai contoh hamba Allah yang sentiasa menghambakan dirinya kepada Allah dengan berdakwah menyampaikan risalah yang telah diamanahkan. Di samping itu mereka memiliki peribadi yang mulia dan diberi keupayaan menguasai ilmu hikmah yang tinggi untuk dicontohi oleh generasi yang kemudian.

Justeru Allah telah merakamkan sedikit sebanyak perjalanan nabi-nabi ini secara ringkas atau sedikit terperinci melalui kalamNya yang mulia. Namun, apakah catitan perjalanan nabi-nabi ini yang disulam dalam bentuk kalamNya yang begitu indah, hanya menjadi cerita orang-orang mulia dahulukala yang diceritakan dari satu generasi ke generasi yang seterusnya? Atau al-Quran itu hanya terus dijadikan simbol kekuatan beku yang umum bagi umat Islam tanpa langsung tidak mahu difahami  atau dihayati apatah lagi untuk dicontohi? Al-Quran yang menjadi pegangan kita dan sekurang-kurangnya telah dibuktikan dengan masih tersimpan elok kitab itu di dalam almari. Diletak kemas agar nanti boleh dibaca ketika usia pencen. Juga mungkin menjadi naskhah sementara sebelum dipinjam al-Quran dari surau, ketika berlakunya kematian keluarga.

Nabi Yusof adalah antara nabi yang diceritakan perjalanan hidupnya di dalam al-Quran. Malah ceritanya diangkat di dalam satu surah khusus dan menjadi nabi yang paling terperinci penceritaannya di dalam al-Quran. Ceritanya sarat dengan rencah kehidupan yang temanya pelbagai dan penuh berwarna warni  melalui pelbagai dugaan. Hidupnya disulami kesusahan, fitnah, kebijaksanaan, keistimewaan, kecekalan, kegigihan, kesenangan, kemulian, kasih sayang dan sebagainya. Kisahnya mampu meruntun perasaan dan memberikan kekuatan bagi mereka yang benar-benar menghayatinya. Apatah lagi bagi mereka yang merasa berada seperti situasi yang dihadapi oleh Nabi Yusuf. Lantaran setelah mereka memilih untuk meneruskan kelangsungan dakwah yang diwarisi dari para nabi dalam segala genap kehidupan.

Tidak dinafikan banyak kisah di dalam al-Quran yang ditokoh tambah bersumberkan Israiliyat. Israiliyat adalah istilah sumber ambilan cerita dari ahli kitab di kalangan Yahudi semenjak zaman nabi lagi. Sudah pasti surah Yusuf tidak terkecuali apatah lagi jika digarap baik dengan elemen cinta. Sebenarnya jika dihayati keseluruhannya, kisah Yusuf a.s di dalam al-Quran adalah cerita yang sempurna dan ada kesudahannya yang diakhir dengan happy ending. Ia melihatkan kecintaan Yusuf pada keluarga yang utuh telah tersempurna dengan pertemuan jejak kasih keluarga. Pertemuan yang sekaligus merungkai jawapan mimpinya yang benar selama ini. Tidak sewajarnyalah kisah cinta isteri pembesar tersebut dikhayalkan begitu tinggi dengan tokok tambah bersumberkan Israiliyat sehingga menjatuhkan martabat seorang Nabi tanpa kita sedari.

18 thoughts on “Cinta Yusuf Tidak Berakhir?

    halim said:
    May 24, 2009 at 3:26 pm

    assalamualaikum…
    nk mncelah jer ustaz..zulaikha kn y mnybbkan nabi yusof d pnjarakan..kmdian, bla d kthui bhw itu mrupakn ftnah jer, nabi yusof tlah di agkt oleh raja mnjd pmbesar..zulaikha mrasa bsalah sgt2, kmdian prgi tggal d sebuah kmpung..tiba pd suatu hri, nabi yusof pergi ke kmpung tsbut n mngagihkan mknn n smbgn pd sume pdduk..slsai mberikan smbgn, nbi yusof mlht ad seorg wnta y x dtg kpd nbi spt org lain..lalu nabi yusof prgi kpd prmpuan tsbut..zulaikha mgnali nbi yusof, tp nbi yusof x knl sbb x pnh bjumpa..lalu zulaikha mpknlkan dri n memohon maaf pd nbi yusof krn tlh mybbkn nbi yusof d pnjarakan..nabi yusof mjwb, klu x krn zulaikha y mftnahnyer shhga msuk pjra, nbi yusof x akn mjd seorg pmbsar spt skrg..lalu, nabi zulaikha melamar nabi yusof. n nabi yusof mnrma lamarannya..wallahu a’lam

      tintataghyir responded:
      May 24, 2009 at 6:24 pm

      Boleh ana tahu sumber cerita anta tersebut? Dalam tafsir mana atau dari buku mana. Tetapi Lim, kisah lanjutan sebegitu memang tiada dalam surah Yusuf. Nama Zhulaikha itupun tidak pasti sejauh mana benarnya. Dari cerita anta itu, ana boleh pertikai dari beberapa sudut. Antaranya:
      -Nabi Yusof memang sangat mengenali Zhulaikha, mustahil Nabi boleh lupa hanya kerana beberapa tahun. Saudaranya yang berpuluh-puluh tahun tidak berjumpa itu mudah dikenali olehnya walaupun mereka tidak mengenali Nabi. Point ‘tidak mengenali’ ini boleh mengurangkan peribadi Nabi itu sendiri.
      -Zhulaikha memang menyesal tapi tidak digambarkan penyesalannya dengan meninggalkan bandar. Allah lebih mengangkatnya hanya dengan pengakuan berani beliau. Itu lebih menunjukkan penyesalannya yg amat sangat, kerana mengaku kesalahan bukan sesuatu yang mudah.
      -Nabi Yusuf kelihatan begitu mudah mempercayai wanita tersebut sedangkan dia seorang yang cerdik dan begitu teliti membuat keputusan. Segala tindakannya bersebab sehingga keengganan Nabi Yusuf untuk keluar penjara itu dipuji oleh Nabi s.a.w sendiri.
      Wallahua’alam

        uwa|s a|-qarn| said:
        July 6, 2009 at 5:22 am

        salam ustaz,ana ada baca buku yang bertajuk ‘Riwayat Bidadari Syurga’ yang dikarang oleh Munif Ahmad dan di dalamnya ada diselitkan kisah Zulaikha.Boleh ustaz pastikan kisah itu benar atau tidak supaya ana tidak sampaikan perkara yang tidak betul.
        Wallahua’lam..

    tintataghyir responded:
    May 24, 2009 at 6:36 pm

    Di harap sesiapa yang membaca, boleh memberi sedikit komen berkongsi tentang apa sahaja yang diketahuinya. Nabi Yusuf adalah salah seorang Nabi yang juga sangat rapat dengan kita yang kita kenal semenjak kita kecil. Moga perkongsian anda akan lebih memberi pencerahan yang sewajarnya kepada kita.

    halim said:
    May 25, 2009 at 8:12 am

    maaf ustaz andai ana tclap…ana bru shj dgr cerita ni dr Tuan Guru Haron Din mgu lps dlm Kuliahnya pd hr khamis malam d surau annur..wallahu a’lam

    halim said:
    May 25, 2009 at 8:28 am

    astaghfirullah..ana btol mtk maap ustaz.ana bru siap baca ksah dlm surh yusof..mgkin ana clap dgr kot pe y tuan Guru ckap mlm 2…wallahu a’lam

      tintataghyir responded:
      May 25, 2009 at 9:36 am

      Takpa, Tuan Guru Haron Din mungkin ada rujukan cuma lagi bagus kita dapat tahu mana sumbernya. Ana tulis berdasarkan ayat-ayat dalam surah tersebut. Kalau ada hadis tentang cerita itu, boleh kongsi bersama. Cuma Nabi s.a.w ada puji sikap Nabi Yusof a.s yang tidak tergesa-gesa.

    halim said:
    May 25, 2009 at 6:46 pm

    btol ustaz…ana tkut ana jer y clap dgr dr Tuan Guru.hehhe…lgpun, msa zulaikha tarik baju nabi yusof, adakah zulaikha pakai purdah?klu pakai mgkin x knl, klu x pkai mgkin knl..hehehhe…agk2 jer.asif jiddan

    Hazim Azhar said:
    May 25, 2009 at 7:38 pm

    Salam akhi, post yang sarat dengan pengajaran.

    Memang benar kisah nabi Yusuf telah ramai disalah ‘erti’ oleh manusia. Seolah2 ceritanya hanyalah berkisar tentang cinta yang terlarang.

    Namun jika kita perhatikan pada sudut yang lebih positif, kisah ini mengajar kita erti kesabaran dan kebergantungan kepada Allah. Juga akhlak indah sebagai seorang muslim.

    1) Nabi Yusuf mengatakan “Ma’azallah” (Aku berlindung dengan Allah) ketika digoda oleh wanita.

    2) Akhlaknya terpuji dengan mengawal kata2, tidak mengatakan yang tidak baik walaupun dizalimi.

    3) Kebijaksanaan dalam strategi..

    Dan.. banyak lagi.

    Moga kita dapat mencontohi utusan rasul ini.

      tintataghyir responded:
      May 25, 2009 at 10:50 pm

      Syukran atas perkongsian. Kisah Yusuf memang sarat dengan akhlak dan maruah diri, walaupun bi’ah (suasana) tidak membantu.

    aku rindu said:
    May 28, 2009 at 2:46 am

    salam..
    sekadar pandangan..dari insan kerdil ini

    1)astaghfirullah..saya juga baru terlihat senario ini dalam diri.betapa hanya yang saya tahu tentang nabi allah ini cuma ketampanan baginda.nak salahkan siapa?salahkan guru2 yang sedari awal hanya bercerita tentang ketampanan nabi yang satu ini?ataupun salahkan kawan2 yang juga mencanang cerita yang sama.seronok mendengar cerita tanpa ada natijahnya..
    lalu ternyata salah sendiri yang tak ambil tahu dan tak cuba mencari kisah hakiki..
    pada semua,mari ambil tahu..jangan selamanya jadi tak tahu

    2)subhanallah..bagus entri ini.mencetus minda pembaca seperti saya untuk berfikir.harap jika ada maklumat tambahan dari pembaca yang lain bisa dijadikan nilai tambah disini.semoga ada natijah atas perkongsiannya..

    3)maaf bertanya..mengapa ye allah menceritakan tentang nabi Yusuf dengan lebih terperinci berbanding nabi lain?

      tintataghyir responded:
      May 28, 2009 at 10:13 am

      Terirma kasih atas pandangan. Insya Allah jika ramai beri pandangan, saya akan cuba untuk mengkaji dari sudut mana kita boleh dapat banyak pengajaran surah Yusof ini. Cuba kongsi dengan rakan-rakan yang lain kerana Nabi Yusof antara Nabi yang glamer pada kita sejak kecil.

    Abdul Hakim said:
    May 28, 2009 at 7:05 am

    assalamualaikum ustaz. terima kasih sudi beri link. sila beri tunjuk aajar. saya baru 18 tahun jagung

    עבייא said:
    May 28, 2009 at 10:44 am

    Cerita Yusuf dan Zulaikha adalah kisah Parsi yang dicedok daripada Talmud yang telah menokok tambah kisah Yusuf sebenar.

    Sudahlah ditokok tambah, ketika ia dicedok oleh Parsi pun ditokok pelbagaikan lagi kisah seperti akhirnya Zulaikha menjadi muda dan bernikah dengan Yusuf setelah terkena sayap Malaikat Jibril.

    Dan untuk memperelokkan lagi bersesuaian dengan kisah Sufisme, Zulaikha terus menerus bertaubat kepada Tuhan sehinggakan suaminya Yusuf pun sudah tidak dihiraukan lagi dek kerana cinta sejatinya pada Tuhan.

    Asal usul kisah ini ialah hasil kerja Nuruddin Abdul Rahman Jami’ (1414-1492) dalam karangannya Haft Awrang (Seven Thrones).

    http://en.wikipedia.org/wiki/Haft_Awrang

    Beliau adalah seorang Sufi dan juga penyajak terkenal di Parsi. Beliau berasal daripada sebuah wilayah Parsi yang kini dikenali sebagai Khurasan.

    Khurasan merupakan sebuah tempat berkurun lamanya didiami oleh Yahudi Parsi dan banyak Rabbai muktabar terkubur di situ sehingga makam-makam mereka dijadikan suatu tempat haji oleh Yahudi sedunia sehingga kini.

    Maka tidak hairanlah kalau unsur Israeliyat itu dicedok masuk dan disesuaikan lagi dengan unsur Sufisme.

    Talmud adalah kompilasi komentar bagi Rabbai-rabbai Yahudi dalam mentafsirkan Taurat. Tapi ada mazhab Yahudi yang tidak menerima Talmud iaitu Yahudi Karaite dan Yahudi Samaritan.

    Dalam Taurat (yang telah terpesong dan tertahrif) pun tiada kisah “lucah” (maaf kalau agak kasar bahasa saya) antara ibu (ibu angkat-Zulaikha) dan anak (Nabi Yusuf) sebegini dalam perihal bahagian Yusuf.

    Sebab itulah di zaman Rasulullah saw dahulu, orang-orang Yahudi Madinah ada yang memeluk Islam setelah surah Yusuf ini dibaca kepada mereka kerana kesamaan yang wujud antara kisah Taurat (yang walaupun telah terpesong dan tidak asli) dengan al-Quran.

    Dalam Talmud, isteri pembesar itu dinamakan sebagai Zelikhah, dari sini nama Zulaikha itu diambil sedangkan dalam Taurat tertahrifpun tiada nama Zulaikha apatah lagi dalam al-Quran.

    Dan dikisahkan Yusuf merupakan seorang anak belasan tahun (mereka berbeda pendapat sama ada 15 ataupun 17) ketika baginda digoda oleh wanita yang bertaraf ibu yang dalam cerita yang sama juga dikatakan sebagai ibu angkat yang membela Yusuf semenjak kecil.

    Diterangkan lagi dalam Talmud, dengan sebegitu detail kisah bagaimana Zelikhah menggoda Yosef (nama Yusuf dalam Ibrani) sehingga beberapa kali Malaikat Jibril datang untuk menghalang perzinaan ibu angkat dan anak itu terjadi dengan meletakkan gambar bapanya nabi Ya’akob dan ibunya Rakhel serta gambar keseluruhan ahli keluarganya untuk menimbulkan rasa keinsafan. Malangnya kesederan itu sebentar sahaja kerana godaan Zelikhah begitu kuat.

    Sehingga kali ketiga Malaikat itu menghalang tapi Yosef tetap tergoda juga, menyebabkan akhirnya air mani Yosef dikeluarkan oleh kuasa Malaikat melalui jari-jemarinya supaya nafsu syahwat Yosef hilang serta merta. Sejak daripada itu dia dikatakan lemah syahwat dan tidak tergoda lagi dengan godaan wanita.

    Bagaimanapun, tiada pula kisah dalam Talmud dan bahagian Rabbinical literature lain yang menyebut Zelikhah akhirnya berkahwin dengan Yosef. Yosef malah dikatakan menikahi anak perempuan tuannya (mungkinkah anak Zelikhah?) itu pula. Lihatlah betapa jijiknya unsur sumbang mahram yang kemudiannya dicedok dalam sirah Islam yang dipuja-puja.

    Saya mahu memberi sumber daripada wikipedia tetapi bahagian kisah Yusuf menurut Rabbinical Literature (Kompendium Penulisan Rabbi) dan Talmud telah dibuang dari dalam wikipedia tersebut.

    Maka saya perlu mencari sendiri sumber tersebut. Nanti kalau di waktu yang lain saya akan tunjukkan ayat-ayat yang menceritakan kisah ini.

    Saya agak jelik apabila Masyarakat Islam sedunia mendakwa kisah inilah kisah cinta sejati antara suami isteri, sehinggakan ia disebut-sebut dalam ceramah-ceramah cinta menurut Islam ataupun ceramah perkahwinan. Bahkan lebih dahsyat lagi apabila ia menjadi kisah sumber Cinta terhadap Tuhan dalam arena Sufisme.

    Ironisnya, ia tidak lain dan tidak bukan hanyalah karangan lucah daripada pendeta Yahudi di bawah genre Inses (Sumbang Mahram) yang boleh dilihat dalam Taurat dan Talmud sepertimana kisah Nabi Lut berzina dengan anak-anak perempuannya, anak Nabi Ya’akob berzina dengan ibu tirinya, anak nabi Daud bersetubuh dengan kesemua isteri bapanya di dalam sebuah khemah. Dan kisah Yusuf inipun termaktub sekali di bawah genre tersebut sebagai hubungan ibu dan anak angkat.

    Ada buku bertajuk X-rated Bible yang mengkompilasikan kesemua cerita jelik berunsur seksual di dalam Bible sehingga ia dibahagikan kepada beberapa bahagian genre seperti sumbang mahram, homoseksual, orgy, biseksual, bestiality (dengan binatang) etc

    “Daripada Abdullah Bin ‘Amr, katanya: Telah berkata Rasulullah (sallallahu alaihi wasalam): Sesungguhnya akan datang ke atas umatku apa yang pernah menimpa ke atas Bani Israel, sama betul keadaannya, sehingga sekiranya di antara mereka ada yang menyetubuhi ibunya, maka pada umatku juga akan ada yang berbuat demikian…”

    [Hadis Hasan Riwayat Tarmidzi, Al-Aajiry, Al-Lalkaaiy]

    Wallahu A’lam

      tintataghyir responded:
      May 28, 2009 at 11:32 am

      Alfu Syukran. Perkongsian yang sangat mendalam. Artikel ini hanya sebagai pembuka untuk mendapat lebih banyak kecerahan. Alhamdulillah semakin berjaya.

    duha said:
    May 28, 2009 at 2:05 pm

    salam..
    sangat membuka minda..mmg betul..kalau disebut Nabi Yusuf..perkara pertama yang melintasi minda pasti lah “sorang jejaka yang tampan”..dan jarang sekali terpacul perkataan “utusan tuhan yg bertugas menyampaikan risalah ketuhanan pada manusia..

    mungkin di sini ada silapnya..walaupun kisah cinta antara nabi dan zulaikha tetap ada pengajaran yang boleh di ambil..namun saya bersetuju bahawa bukanlah itu yang sepatutnya di agung2kan oleh umat islam..hingga nabi yusuf hanya menjadi satu simbol CINTA antara lelaki dan perempuan..

    banyak lagi bahagisan dr surah yang kita boleh ambil pengajaran..cthnya kesabaran nabi yang amat tinggi ketika di buang oleh saudara2nya ke dlm perigi..hingga menyebabkan dia dijual oleh pedagang/musafir..

    kepandaian nabi yusuf dan tawakalnya dia kepada Allah taala..pemaafnya beliau hingga tidak membalas perbuatan saudaranya sedangkan dia seorang pembesar..dan sebagainya..

    tapi unsur positif yang lain seakan-akan dikaburi oleh unsur CINTA yang mengkhayalkan..

    tapi, nak salahkan masyarakat pun susah jugak..sebab nasyid2 terkini pun banyak mendengdangkan tentang kisah cinta ini..jadi masyarakat mendapat info khusus tentang kisah cinta nabi..

    wallahua’lam..

    lepasni perlu lebih berhati2 dalam menerima kisah2 yg berkaitan dengan AQ tapi tidak disebut di dalamnya..tak dinafikan mmg ada kisah dalam AQ yg dijelaskan dengan lebih lanjut oleh nabi..cthnya kisah As-habul ukhdud dsb..tapi berhati-hatilah dalam menilai…

    jzkk..artikel+komen2 yang sgt menarik!

      tintataghyir responded:
      May 28, 2009 at 2:53 pm

      Sabda Nabi s.a.w
      ولو لبثت في السجن طول مالبث يوسف، لأجبت الداعى
      “Kalau kiranya aku yang ditahan dalam penjara seperti tempoh terpenjaranya Yusuf, tentu (di saat itu juga) aku turuti panggilan itu”
      (Bukhari, kitab fitnah, bab cukup bagi sesiapa yang mengatakan La Ila Ha Il Lallah. 4026. Muslim, kitab Iman, bab penerangan Iman, Islam dan Ihsan, 238)

    busyro said:
    June 2, 2009 at 2:54 pm

    hmm…kisah yusuf dgn zulaikha akhirnya kwen tu israiliyyat kan?

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s