Dakwah Bukan Menyondol

Posted on Updated on

Kum-kum?Ketika kecil sering saya ditakutkan dengan hantu Kum-Kum yang digambarkan dengan jelmaan wanita yang berpurdah. Ia berpurdah kerana menyorokkan wajah hodohnya yang lebih dasyat dari Nightmare. Ia hidup sezaman dengan hantu susu bawa anak selain hantu-hantu otai yang sudah sebati dengan jiwa masyarakat. Maka orang berpurdah hitam antara makhluk yang menyeramkan saya sekalipun di siang hari.

Pernah pula saya terbaca sebuah artikel pada zaman sekolah menengah, di dalam sebuah majalah yang lebih kurang bertajuk : Remaja jauhi 3 D. Apabila dibaca, tiga D itu adalah Dadah, Dedah dan Dakwah. Begitu sekali buruknya tanggapan pada dakwah dengan menyamakannya dengan sesuatu yang sangat jelik. Walaupun tidak terdedah dengan dakwah secara langsng, namun kejahilan ketika itu tidaklah membawa sehingga naluri saya membenarkan artikel tersebut.

Namun ianya hanya berlalu begitu sahaja kerana tiada tahu kepada siapa untuk dibincangkan. Biarpun sebenarnya saya berada di gelanggangan orang-orang baik, dipimpin oleh para ustaz dan ustazah yang mempunyai raut wajah yang tenang dan penuh berilmu. Usrah, halaqah, jaulah, isu Palestin, khilafah semuanya tiada dalam kepala apatah lagi ingin difikirkan secara serius. Ketika itu dakwah masih dilihat sebagai satu ancaman kepada prestasi kecemerlangan seorang pelajar dan satu ketakutan pada ibu bapa. Di kalangan rakan-rakan, sesiapa yang baik, akan digelar mat surau dan ditekan semacam, atau paling kurang dikatakan macam bagus.

Zaman kini, kelihatan 3 D melalui banyak transformasi. Dadah tetap popular di kalangan bangsa kita tetapi sudah kelihatan ekslusif. Pencandu bukan lagi bersifat mayat kering, namun melebar di kalangan berharta yang imannya papa, sebagai satu gaya hidup. Dedah masih dipelopori oleh golongan gila glamour yang semacam tidak takut dosa, namun tidaklah begitu berakar pada masyarakat biasa. Hasilnya tudung berjaya menjadi satu aset jualan berharga dan sentiasa pelbagai. Tidak ketinggalan fesyen serkup kepala, telinga dan leher masih ternganga.

Dakwahlah yang telah berjaya melepaskan fitnah rantai kesamaan tersebut, dan terus mencipta satu kelompok yang dihormati dan diterima. Ia bukannya lagi digalas oleh golongan tertentu, malah masing-masing berlumba untuk berdakwah berdasarkan kefahaman yang ada. Cuba buka carian dakwah di internet, sudah berlambak artikel bertajuk sedemikan atau mengeninya. Namun tidaklah bermakna ianya mencukupi dan tidak perlu ditambah, malah semaraknya perlulah berterusan.

Biarpun usaha kefahaman dakwah ini masih ada yang ditentang, namun generasi remaja kini ada yang bertambah matang. Mereka mampu memikirkan sesuatu yang di luar pagar sekolah dan pemikiran remaja biasa, tanpa menjejaskan kecemerlangan akademik. Di sebalik himpunan budaya hendonisme, keluasan media yang ganas, gensterisme yang tidak kesudahan, mereka ini berusaha keluar di celah-celah kepompong jahiliyah yang semakin busuk dan membusukkan. Sanggup kelelahan memimpin adik-adik untuk menaiki tangga yang lebih jelas puncaknya.

Dakwah merupakan kelangsungan daripada keyakinan akan kebenaran wahyu Allah s.w.t. Ia menjadi saksi bahawa Islam dan ajarannya benar-benar telah sampai kepada seluruh manusia. Maka tiada lagi alasan dan dalih di hari akhirat untuk manusia yang tidak beriman dan terleka. Dakwah bukanlah ajakan atau seruan semata-mata, malah ia dilihat sebagai perjuangan mendaulatkan syariat Allah s.wt.  Bersesuaianlah dengan pelantikan manusia sebagai khalifah yang hanya dijadikan untuk menyembahNya yan Esa.

Namun ia bukannya hanya berlandaskan semangat dan keikhlasan. Setiap amal perlu dimulakan dengan kefahaman dakwah cahayanya ilmuilmu dan apatah lagi jika berkaitan dengan dakwah. Sejarah telah membuktikan munculnya golongan yang tidak diragukan keikhlasan dan semangatnya, tetapi tidak cukup memiliki ilmu. Golongan mereka ini dinamakan sebagai Khawarij yang bermakna orang yang terkeluar dari Jamaah Muslim. Malah mereka dikenali sebagai orang yang mempunyai tanda sujud di dahi dan memiliki tapak tangan yang kasar lantaran kuatnya ibadah. Ketika sembahyang mereka mengeluarkan suara seakan-akan dengungan lebah. Pakaian, gaya dan kesan ibadah mereka akan menimbulkan kekaguman terutama yang jahil dan hanya  melihat luaran sahaja.

Namun bukanlah itu sebagai tanda kebenaran berada di sisi mereka. Malah atas sikap kefahaman melampau, mereka sanggup membunuh Saidina Ali r.a dan muslimin yang lain di atas alasan taqarrub kepada Allah. Mereka adalah kelanjutan dari orang-orang yang pernah memprotes Rasulullah s.a.w ketika membahagikan harta. Mereka sanggup mengatakan kepada Nabi s.a.w: “Berbuat adillah engkau wahai Muhammad!” Maka terguris hati Rasul s.a.w lantas bersabda : “Celaka engkau! Siapa yang mampu diharapkan keadilannya jika aku tidak berlaku adil? Sungguh rugilah engkau sekiranya aku tidak berlaku adil.” Amat benar kata-kata Umar bin Abdul cAziz, “Sesiapa yang mengerjakan sesuatu tanpa ilmu, maka dia akan banyak merosakkan daripada memperbaiki.”

Daripada Abu Sa`id al-Khudri r.a: “Aku mendengar Rasulullah s.a.w bersabda: (Maksudnya): “Akan keluar di dalam ummat ini -baginda tidak mengatakan daripada ummat ini- satu kaum (golongan) yang kamu akan merasa bahawa sembahyang kamu adalah terlalu sedikit jika dibandingkan dengan sembahyang kamu. Mereka membaca al-Qur’an tetapi bacaan mereka tidak melepasi halqum mereka. Mereka keluar daripada agama, sebagaimana anak panah keluar daripada badan binatang yang menjadi mangsa panahan. Hendaklah orang yang memanah (atau yang membawa fitnah) itu melihat kepada anak panahnya, yang menyebabkan dia berlebihan di dalam fitnahnya, adakah anak panahnya itu dilekati oleh darah, walaupun sedikit?” (Riwayat al-Bukhari)

Khawarij merupakan salah satu firqah Islam yang mempunyai hati yang paling keras, pendirian yang paling teguh, lidah yang paling pintar berkata, ibadat yang paling menakjubkan dan amalan-amalan yang amat ganjil. Ia juga amat cepat menuduh saudara seagama dan tidak mempunyai kelapangan dada sesama Islam. Ini menyebabkan kaum muslimin ditimpa dengan berbagai kejahatan yang memanjang dengan sebab mereka…” (Uthman bin Affan, karangan Sadiq `Urjun, 34)

Makna Dakwah

Makna dakwah banyak didefinisikan oleh ramai ulamak dengan pelbagai bentuk makna dan istilah. Antaranya mengikut istilah ia dapat dibahagikan kepada tiga erti yang munasabah, iaitu:[1]

1          Menyampai, menyebar dan mendorong umat manusia supaya beriman kepada Allah dan mentaatiNya dengan mengerjakan segala suruhanNya dan meninggalkan segala laranganNya.

2          Agama Islam dengan semua ajaran-ajarannya iaitu risalah terakhir yang diturunkan kepada Nabi Muhammad s.a.w sebagai wahyu daripada Allah s.w.t dalam bentuk kitab dengan kalamNya yang bernilai mucjizat, ditulis dalam mushaf yang dipindah daripada nabi secara Mutawatir. Oleh itu membacanya bernilai ibadah.

3          Suatu ilmu yang mementingkan penyebaran nilai-nilai Islam dan menyampaikan kepada umat manusia secara menyeluruh.

Sikap prejudis sebahagian orang, ketika mendengar istilah dakwah hanyalah disebabkan kerana mereka tidak memahami akan hakikat dakwah dalam Islam. Mungkin juga ia tergoda dengan proses pelaku dakwah yang tidak bertanggungjawab. Bahkan memahaminya serupa dengan konsep missionari dalam agama Kristian.[2]

Dakwah kadangkala terasing

Oleh itu, dakwah adalah satu disiplin ilmu yang diasaskan dengan pengetahuan dan kefahaman yang benar, selain kemahiran penyampaian dan komunikasi. Islam menganjurkan dakwah dengan penuh hikmah dan kebijaksanaan. Hikmah  yang mengadunkan  ilmu, latihan dan pengalaman yang akan menjadikan seseorang itu kelihatan fleksibel. Justeru dakwah adalah adunan segala macam ilmu dan teori berdasarkan asas al-Quran dan al-Sunnah yang perlu dilaksanakan secara praktikal. Perlaksanaan yang penuh kebijaksanaan bersulamkan keikhlasan,  akan melihat kelangsungan dakwah itu berjaya biarpun hasilnya belum tentu dirasa.

Dakwah pastinya perlukan pengorbanan dan penuh dugaan, kerana menempah syurga bukannya mudah. Malah menjadi semacam kebimbangan bagi mereka, kerana takutnya pada keguguran dan kelayuan di tengah nafas masih bernyawa. Ada yang memilih jalan ini bersendirian, dan ada yang bergerak secara berkumpulan, kerana kejaminannya lebih terkawal. Seekor kambing yang kuat, tanduk yang besar, namun suka bersendirian, sangat mudah dibaham serigala berbanding kambing yang sentiasa berjemaah. Analogi yang mudah dan biasa di dengar namun mempunyai makna yang mendalam jika dihayati.

Dakwah bukan membina ketaksuban, bukan dinilai dari kebagusan kata-kata, malah jauh dari semangat membabi buta. Ia bersulamkan tarbiyah yang berterusan, bersilangkan ukhuwah yang kekal, juga mendidik kerendahan hati namun berjiwanya besar. Bukanlah atas nama dakwah, kita membenarkan wujudnya kedengkian, kecintaan riyasah (pangkat), pencacian melampau atau persaingan yang saling membungkam perasaan.

Semangat sudah ada, keinginan kian membara dan jalan pula di depan mata. Maka terangilah liku dakwah dengan suluhan  ilmu berhadam sumbu dan minyaknya secukup rasa. Suluhan ajaib yang semakin jauh kita melangkah, akan semakin terang cahayanya jika bahan bakarannya diisi sentiasa . Kukuhkan langkahmu walaupun geraknya bermula perlahan. Jangan pula tidak suka dipimpin, terus berlari sehingga kaki terselirat duri. Akhirnya  tidak mampu berjalan lagi atau  dek kepenatan meraba-raba, akhirnya diam-diam mengundur diri.


[1] Sulaiman Ibrahim, Ahmad Asnawi Hassan, Berhanuddin Abdullah, Fariza Md Sham. 2001. Metodologi Dacwah. Universiti Kebangsaan Malaysia. hlm.14

[2] Ibid, hlm.30

12 thoughts on “Dakwah Bukan Menyondol

    busyro said:
    June 1, 2009 at 9:45 pm

    bagus la artikel ini…tertarik dengan teknik penceritaan pada mula2 perenggan

      tintataghyir responded:
      June 1, 2009 at 11:11 pm

      Syukran ya ukht. Sebenarnya ini artikel dari mukadimah kertas kerja pengajian saya, lalu saya gubah untuk resipi blog ditambah sedikit rencah pengalaman mengikut pengiraan saya. Citarasa dan kuasa memilih pada pembaca blog sudah pasti berbeza dengan Dr kuliah. Baru sebulan menulis, mungkin akan terasa sedikit tawar atau terlebih masin. Ada kaitan dengan artikel sebelum ini mengenai Cinta Nabi Yusof.

    Marjan said:
    June 2, 2009 at 8:09 am

    Sangat bagus!! Apa2 pn dakwah perlu dilakukan secara berterusan dlm mengingatkan manusia yg semakin alpa..

      tintataghyir responded:
      June 6, 2009 at 11:55 pm

      Sampai ayat “Maka istiqamahlah kamu sepertimana kamu diperintahkan”surah Hud, rambut Nabi s.a.w beruban

    dr muslimah said:
    June 2, 2009 at 4:40 pm

    assalamualaikum…
    ana tertarik n suka sekali membaca blog anta ni…
    tahniah atas penulisan yang kreatif dan bijaksana…
    nampak pada mata pembaca yang penulis pandai mengolah setiap ayat supaya mudah difahami dan menarik perhatian…

      tintataghyir responded:
      June 6, 2009 at 11:57 pm

      Syukran, moga selalu memberi sokongan. Tulislah dengan perasaan ingin berkongsi.

    sinar said:
    June 5, 2009 at 10:44 pm

    Pencerahan yang bgus ttg dakwah..
    dan intro yg sgt membuka mata..
    teruskn menulis..

      tintataghyir responded:
      June 7, 2009 at 12:01 am

      Pembuka selera perlulah yang terliur dan pencerahan lahir dari dalam, syukran atas sokongan.

    ikramm said:
    June 6, 2009 at 10:38 pm

    mantap ust haji kita..hhuhu..x sampai berapa minggu dah banyka post2 baru yang x dibaca..mantap penulisannya..menarik..santai n mudah difahami..

      tintataghyir responded:
      June 7, 2009 at 12:06 am

      Ketinggian penulisan bukannya berdasarkan bombastiknya perkataan, tetapi lebih kepada kefahaman pembaca. Syukran Ikram, anta sangat menyokong.

    Hazim Azhar said:
    September 24, 2009 at 2:20 pm

    Salam ustaz haji, hebat tulisan nta. Ana cukup tertarik pada part akhir2.. Tulisan yang berseni menambah seri!

      tintataghyir responded:
      October 1, 2009 at 12:31 am

      Biasa sahaja Azim. Ana hanya menulis apa yang ana rasa dan alami. Mungkin antum lebih banyak boleh dikongsi selama berjuang di sana.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s