Berlagak Tahu Yang Jahil

Posted on Updated on

Jangan sampai macam ini

Kisah 1

2001

Majlis perpisahan selalunya saya datang dengan sepenuh hati, namun kali ini hanya separuh. Hati saya masih tidak berapa keruan semasa majlis tersebut.Kali ini benar-benar ikhlas hadir kerana ukhuwah biarpun terpaksa. Bukan lagi kerana ingin menjamu selera seperti kebiasaannya. Runsing memikirkan imtihan (peperiksaan) yang tidak tahu lagi bagaimana cara pertempurannya, tiba-tiba dijemput ke majlis perpisahan seorang akh (saudara). Saya di Tanta dan majlisnya di Kaherah. Mengenangkan budi baik akh tersebut, yang sentiasa melayan saya dengan baik dan sangat membantu, tidak wajar saya mohon keuzuran.

Antara agenda menarik majlis perpisahan, ialah lazimnya setiap tetamu diberi ruang untuk memberikan sedikit nasihat lembut mahupun teguran pedas.Setelah beberapa kali menoleh jam di dinding dan ketika saya tengah mengira  berapa orang lagikah yang belum bercakap, tiba-tiba butiran nasihat seorang kenalan akh ketika itu telah menarik perhatian saya. “Baru-baru ini saya telah pulang bercuti. Berdasarkan pengalaman, saya mahu nasihatkan kalau masyarakat tanya sesuatu jangan beri jawapan tidak tahu. Mereka memandang tinggi kita di sini, dan merasa kita tahu semua perkara mengenai agama terutamanya hukum. Jadi mereka tidak boleh terima kalau kita kata tidak tahu dan akan memperlekehkan kita.”

Entah mengapa saya cukup tidak bersetuju dengan nasihat tersebut. Tidak tahu, kena buat-buat tahu? Namun persoalan itu saya bungkamkan sahaja. Apatah lagi yang menyuarakan bukan kenalan rapat saya.

Kisah2

2003

Hari itu kali pertama saya menjejakkan kaki ke kota London. Seawal pagi kami sekereta telah bertolak daripada Leeds. Semuanya kerana teruja untuk bertemu dengan Dr Yusof Qardawi yang dijangka hadir dalam konvesyen Islam tersebut. Namun sampai di sana kami kecewa  diberitakan beliau tidak dapat hadir.

Setelah majlis selesai, memandangkan waktu masih ada, kami bercadang untuk berjalan-jalan di kota masyhur tersebut. Tiba-tiba  seorang  dari kami mencadangkan makan di sebuah restoran Melayu (Mawar rasanya, kalau nasi satu lauk 4 pound, nasi tiga lauk 5 pound) yang tidak silap, tidaklah jauh sangat dari Malaysia Hall. Kemudian terus pergi ke rumah kenalannya pula. Memandangkan dia antara yang senior sedikit tinggal di UK, cadangan itu lebih mirip kepada arahan. Cadangnya mahu menaiki metro bawah tanah, lalu kami mencari stesen metro. Di sinilah mulanya point cerita ini.

Kelihatan ada papan tanda menunjukkan stesen metro yang berdekatan. Ketika menyusur satu jalan berarahkan papan tanda tadi, terlihat ada rel keretapi di bawahnya. Teruslah si kawan seorang ini bersikap serba tahu. “Ha, sinilah metro.”

Saya sangat berasa sangsi, “Eh, tiada tempat beli tiket pun.”

“Ala, kadang-kadang beli pakai mesin. Ha, bukan ke di sini ada mesin, masuk  sajalah duit.”

“Biar betul, masa aku kat Paris, tak macam ini pun stesen metro. Ini nanti keretapi pergi mana entah.”

Kawan ini terus juga tidak menghiraukan  keraguan saya. ”Cepat, cepat, keluarkan 4 pound (tak pasti berapa) seorang.” Sambil itu terus dia masukkan duit syilingnya ke dalam mesin.

Lantas saya berbisik pada seorang lagi kawan, ”Apa, dia ingat kat Mesir tiada metro ke? Aku jalan-jalan Paris kelmarin banyak naik metro bawah tanahlah. Ini macam tempat lalu keretapi biasa sahaja. Sudahlah tiada orang pun”

Jawab rakan tersebut seakan mengalah,”Kita ikut sahajalah dia.”

Belum sempat yang lain memasukkan duit, tiba-tiba si ‘Pandai’ ini bersuara, “Eh, aku rasa bukanlah. Lain macam tiket ini. Aduh, ruginya.”

Dalam hati saya terus berkata, “Padan muka kau, buat-buat pandai sangat. Ingat yang lain ini kampung sangat ke?”

Akhirnya kami berjalan ke hadapan lagi dan barulah kami bertemu dengan sebuah stesen metro bawah tanah. Stesen seperti mana stesen di Paris, Kaherah dan juga Kuala Lumpur. Dari situ kami beli tiket sehari dan terus kami mencari-cari arah lorong metro yang akan melalui restoran tersebut tanpa petunjuk si  ‘Pandai’.

Kisah 3

2004

Setelah melihat ayah di wad ICU, saya terus mengajak abang saya ke surau yang berada di tingkat lain. Di anjung surau terdapat seorang pemuda tengah berehat. Kelihatan beliau terdesak menjadikan surau tersebut sebagai hotel sementaranya. Setelah solat abang saya berkesempatan menegurnya dan dia juga membalasnya dengan baik. Saya hanya mendiamkan diri sambil jiwa masih memikirkan keadaan ayah yang masih tidak sedar-sedar selepas pembedahan pintasan jantung.

Dia memperkenalkan dirinya. “Saya ini jaga abah yang baru lepas bedah. Asalnya Johor,  di KL ini tiada saudara dekat, jadi saya tidur di sini sahaja.”

“Saya hanya kerja kilang sahaja. Untung juga di KL ini ada  dua orang adik perempuan saya belajar perubatan di UM, boleh gilir-gilir tolong tengokkan abah saya”

Barulah saya minat mendengar, kerana tadi saya terperasan ada dua anak gadis manis yang seakan melawat ayahnya di wad yang sama. Rupanya adik-adik dia inilah. Dia terus rancak berbual dengan abang. Katanya melihat ramai pesakit jantung di IJN ini, menyesal dia merokok dan berazam untuk berhenti. Bila beberapa hari tinggal di hospital rasa insaf menyelubunginya dan dia ingin sekali memperbaiki amalannya.

Ketika rancak ia berbual, abang saya pula tiba-tiba menggatal juga mulutnya, “ Adik saya ini masih belajar dan sekarang ini tengah bercuti, dia ini belajar agama di Mesir.”

“Oh ya ka, kami di kilang ada juga kelas agama, tapi saya tidak cukup suka dengan kelas tersebut”.

“Mengapa pula?”

“Entahlah, ustaznya suka berlagak pandai dan macam memperlekehkan orang.”

“Selalunya bila kita belum habis bagi soalan, terus dia memotong soalan.“Saya sudah tahu jawapannya, saya sudah tahu” Kadang-kadang dia tidak tahu pun jawapannya. Kalau tidak tahu cakap sahajalah. Belajarnya tinggi, tapi bila tanya ada juga yang  nampak dia sebenarnyatidak tahu”

Wah, ada persepsi buruk pada jiwa saudara ini nampaknya.  Mati saya, kalau tiba-tiba tergerak pula dia ingin bertanya soalan mengenai hukum ke, atau perkara agama dan saya tidak mampu menjawabnya.

Saya hanya mengiyakan, namun tanpa mengukuhkannya dengan dalil. “Betullah itu, kalau kita tidak tahu, jangan berlagak buat-buat tahu.”

Melihat ia seperti berminat, terus saya menyambung, “ Zaman dulu, orang-orang Islam sangat pandai. Mereka boleh belajar dan tahu banyak ilmu. Cuba lihat Ibnu Sina, ilmu agama dan dunia, semua dia sapu. Namun bila zaman makin berlalu, keupayaan manusia juga semakin terbatas, maka ilmu-ilmu juga terpecah.  Seseorang individu amat jarang dapat menguasai banyak ilmu dengan begitu mendalam melainkan kepakaran bidangnya sahaja.”

“Macam adik saudara, dia belajar kesemua ilmu perubatan tetapi hanya secara umum. Kalau ingin mendalam kena sambung belajar untuk jadi pakar. Itupun pakar dalam satu bidang sahaja, bukannya semua. Bagitulah juga orang belajar agama. Tidak semestinya boleh tahu semua perkara dengan begitu baik. Misalnya saya, mengambil bidang al-Quran, jadi kalau hukum-hakam saya kurang menguasai.”

“Oo, betul juga ya.”

“Cumanya tidak bolehlah buat-buat tahu dan akhirnya masyarakat keliru. Kita juga kena seringlah menambah ilmu dan jangan sampai terbatas dengan bidang kita sahaja.” Nampaknya pemuda itu berpuas hati dengan pandangan saya biarpun hanya mungkin sementara.

Dek kerana sikap ustaz yang suka berlagak tahu, dia kurang menyukai kelas agama tersebut. Tetapi mungkin setelah berada di hospital ini, pasti keinginannya untuk menambah ilmu agama kembali subur. Memang benar, hospital adalah salah satu tempat yang dapat menginsafkan diri kita walaupun membosankan.

Saya tidak pasti adakah tiga situasi kecil yang saya alami di atas berkaitan atau tidak. Tetapi  saya yakin ramai yang tidak bersetuju dengan orang yang berlagak serba tahu. Tidak rendah martabat kita apabila mengaku tidak tahu, Cuma berusahalah juga untuk menjadi tahu. Hidup saya sendiri akan menjadi sangat membosankan apabila bertemu dengan orang yang lagaknya serba tahu dan mengaku tahu. Kadang-kadang boleh juga  diklasifikasikan mereka antara orang yang sebenarnya bodoh sombong, yang sangat merimaskan dan pada satu tahap patut ditinggalkan sahaja.

One thought on “Berlagak Tahu Yang Jahil

    echipsey said:
    June 8, 2009 at 5:23 pm

    bro..aku sokong ckp ko…klu kite xtau jgn pandai2 kata tau, dlm urusan dunia xleh wat cm2 dlm urusan agama lbh2 lg la..islam agama syariat xleh men jwb ikut sdap mulut je…barakallahu fiik

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s