Hakikat di Sebalik Keimanan Michael Jackson

Posted on Updated on

michael-jackson-converted-to-islam Sana sini orang masih menceritakan khabar kematian Michael Jackson yang matinya secara mengejut. Namun pemerhatian masyarakat di kita tidaklah terfokus sangat pada sebab kematiannya walaupun masih belum terungkai dengan sepenuhnya. Menariknya kematian selebriti ini responnya berlainan berbanding kematian penyanyi dunia yang lain. Apa yang menjadi titik persoalan sebahagian masyarakat kita yang bukan semua peminat fanatiknya adalah status keislamannya. Status agamanya inilah yang telah membawa kepada perbincangan dan perdebatan agama di internet secara meluas. Info ini jugalah yang menjadi tarikan magnet pada minda saya untuk mengikuti juga sedikit sebanyak perkembangan lanjut mengenai kematiannya.

Michael atau nama Islamnya Mikhail, diberitakan telah memeluk Islam pada 21 November 2008. Adalah tidak mustahil seorang yang bergelumang dengan segala kesesatan dan kemasyhuran batil yang akhir hayatnya berada dalam cahaya kebenaran. Begitulah juga sebaliknya kerana inilah hakikat keimanan yang kuasa penentunya disisi Allah Ta’ala yang Maha Berkuasa.

Walaupun disahkan oleh media terutma The Sun dan pengakuan saudara kandungnya sendiri, namun sayangnya setakat ini saya belum menemui pengakuan secara terang-terangan oleh Michael sendiri. Inilah yang menjadi persoalan atas keislamannya meskipun rata-rata Muslim mengharapnya sebegitu. Persoalan ini masih tidak terungkai apabila keluarganya pula memutuskan untuk merahsiakan lokasi perkuburannya dan cara ia disemadikan.

Keimanan kepada Allah s.w.t adalah hakikat yang sangat penting bagi kehidupan seorang manusia berbanding dengan cara dan sebab kematiannya. Hakikat inilah yang membezakan status seorang manusia dan nilai kehidupannya itu sendiri. Jikalau muslim dengan sepenuh kepercayaan mengesakan Allah s.w.t maka setiap inci hidupnya selepas pengakuannya itu akan dinilai, manakala sebelumnya akan terlebur. Namun sekiranya tidak, maka setiap langkah kehidupannya adalah sia-sia dan amalnya seperti debu-debu yang berterbangan.Firman Allah Taala:

وَقَدِمۡنَآ إِلَىٰ مَا عَمِلُواْ مِنۡ عَمَلٍ۬ فَجَعَلۡنَـٰهُ هَبَآءً۬ مَّنثُورًا

“Dan Kami tujukan perbicaraan kepada apa yang mereka telah kerjakan dari jenis amal (yang mereka pandang baik), lalu Kami jadikan dia terbuang sebagai debu yang berterbangan.” Furqan :23

Michael adalah antara jutaan manusia yang matinya tidak disangka-sangka baik mereka yang disekelilingnya atau mungkin beliau sendiri. Tinggal lagi kematiannya mendapat laporan terhangat kerana beliau seorang penyanyi dunia yang terkenal. Kematian yang meninggalkan segala kemasyhuran dan kekayaan yang dikecapinya selama ini. Perpindahan dari rumah yang besar tersergam ke lubang kubur yang bersegi empat kecil. Andainya beliau benar seorang Islam, maka ia sangat beruntung baginya. Satu pencarian hakiki yang telah ditemuinya di fasa-fasa terakhir kematiannya.

Alangkah bagusnya kalau beliau benar-benar mengakui keislamannya dan memperlihatkan dengan jelas cahaya itu berkesan dalam dirinya di akhir-akhir ambang kematiannya. Atau jua harapan kita mungkin ingin melihat perubahan Michael seperti berubahnya Cat Stevan kepada Yusof Islam. Mencanangkan kebenaran yang didokongnya dan menyatakan kebatilan yang di cari sebelum ini. Pasti ianya sangat memberi impak yang mendalam pada peminat fanatiknya sendiri. Namun ianya kehendak Allah s.w.t yang Maha Mengetahui apakah hikmah di sebaliknya. Jika ia sememangnya telah mentransformasi sebagai Mikail luar dan dalam, maka hanya Allah yang mengetahui kedudukannnya di akhirat dan Dialah yang berhak mengadilinya. Tiada siapa yang dapat menyelami akidah penyanyi unik ini melainkan Yang Maha Mengetahuinya.

Kematian Tidak Bertarikh

Kematiannya bukanlah mengingatkan sangat kita kepada stailnya berjalan ke belakang, gaya melekap tangan pada cermin atau tarian zombinya yang pernah menakutkan saya ketika kecil. Namun ternyata sekali lagi kematian Michael mengingatkan kita tentang hakikat kematian yang hadir tiada bertarikh. Kematian yang tidak dipercepatkan dan tidak pula ditangguhkan. Firman Allah Taala :

لِكُلِّ أُمَّةٍ أَجَلٌ‌ۚ إِذَا جَآءَ أَجَلُهُمۡ فَلَا يَسۡتَـٔۡخِرُونَ سَاعَةً۬‌ۖ وَلَا يَسۡتَقۡدِمُونَ

“Bagi tiap-tiap umat ada tempoh yang ditetapkan; maka apabila tempohnya tiba, tidak dapat mereka melambatkannya sesaatpun dan tidak dapat mereka menyegerakannya.”  Yunus :49

Benar kata Saidina Ali r.a, “Manusia itu tidur lena, apabila kematian tiba barulah dia terjaga dari tidurnya” Ada orang takut mengingati mati, apatah lagi untuk memikirkannya. Lagu Selimut Putih sendiri takut didengari dan baginya mengingati mati tiada motivasi dan melemahkan semangat diri. Kenapa ingin digembar gemburkan perit kematian sedangkan hakikat itu akan datang jua nanti akhirnya?

Memang benar, sangat beballah sekiranya ada yang benar-benar menganggap dirinya kekal dan kematian tidak menjemputnya. Mungkin satu wayarnya sudah tercabut atau tidak berfungsi untuk dia berfikir secara waras. Namun betapa ramai yang hidup seperti berfikiran sebegini tanpa mereka sedari perjanjian itu makin hampir.

Hakikat Dunia Dan Kepatuhan Muslim

Islam bukan mengajar manusia meninggalkan kehidupan dunia dan setiap hari menangisi waktu kematian. Dunia adalah tempat kita mencari bekalan dalam apa jua bentuk untuk kita mudah bertemu dengan Allah s.w.t nanti. Kita ibarat musafir yang perlu membuat segala kebaikan dan dunia adalah persinggahan dalam menuju negeri yang abadi. Cukuplah apa yang dibawa tidak membebankan perjalanan dan kita tidak mahu hakikat perjalanan itu tidak bererti. Janganlah pula sibuk terpesona dengan negeri singgahan, apatah lagi bercita-citauntuk kekal tinggal dan tidak mahu meneruskan perjalanan. Kita musafir yang akan ditanya mengenai amalan sepanjang perjalanan dan bukannya material yang diraih di negeri singgahan.

Dunia juga ibarat tempat pertandingan kita dalam berlumba-lumba mendapatkan tiket yang termahal untuk jaminan memasuki syurga Allah, biarpun nanti ia perlu dicop dengan rahmat Allah s.w.t. Ada juga yang masuk dengan nilai tiket yang tidak berharga tapi cukup dengan hanya cop rahmat Allah s.w.t. Namun begitu kita tetap perlu gusar sekiranya tiket kita itu kurang nilainya atau dinilai palsu dan kita dihumbankan ke neraka. Firman Allah Ta’ala:

فَٱسۡتَبِقُواْ ٱلۡخَيۡرَٲتِ‌ۚ إِلَى ٱللَّهِ مَرۡجِعُڪُمۡ جَمِيعً۬ا فَيُنَبِّئُكُم بِمَا كُنتُمۡ فِيهِ تَخۡتَلِفُونَ

“Oleh itu berlumba-lumbalah kamu membuat kebaikan (beriman dan beramal soleh). Kepada Allah jualah tempat kembali kamu semuanya, maka Dia akan memberitahu kamu apa yang kamu berselisihan padanya.” al-Maidah :48

Dunia boleh juga ibarat ladang untuk kita menerima hasilnya di akhirat kelak. Biarpun kita dibenarkan bercucuk tanam, namun tidak semua tanaman boleh ditanam. Tanaman pula perlu ada cara dan peraturannya yang wajib dipatuhi. Malah apa yang penting petani perlu kenal pemilik ladang dan perlu patuh dengan segala yang diarahkan. Apa yang ditakuti saat kita diberhentikan kerja itu nanti. Ada yang diusir dengan sepak terajang oleh pegawai ladang kerana keingkaran petani itu mematuhi arahan, apatah lagi mereka yang menceroboh meskipun ia bekerja dengan tekun dan baik. Hasilnya tidak akan dinilai sama sekali dan dimusnahkan begitu sahaja.

Bagi pekerja yang memiliki permit, tidak semua yang rajin dan ikhlas bekerja. Ada yang bersantai dan ada yang masih keliru dengan statusnya. Namun ada yang terus ikhlas tekun bekerja dan tahu hakikat ladang bukan untuk bersenang lenang. Bagi mereka ini yang kenal dan diizinkan oleh Tuan ladang, hasilnya nanti akan dinilai dan ditimbangkan dalam menentukan nilai ganjarannya.

Orang kafir adalah ibarat pekerja yang tidak memilki permit. Mereka tidak kenal langsung Tuan pemilik ladang dan tidak pula mendapatkan keizinan untuk bekerja. Layakkah mereka mendapat upah dan ganjaran meskipun kerjanya sangat tekun dan hasilnya sangat baik?

Orang Islam adalah pekerja yang berpermit, namun tidak semua bekerja dengan bagus dan ada pula yang berlagak tuan. Malah ada yang sibuk menghambakan dirinya kepada pekerja yang lain. Terpulanglah pada Tuan mereka nanti untuk menilainya. Malaikat adalah pegawai ladang yang sangat patuh dan tiada ruang untuk disogok-sogokkan. Saat diberhentikan kerja itulah antara yang perlu ditakuti oleh pekerja ladang samaada secara baik atau secara kasar dan terhina. Maka Allah s.w.t adalah pemilik ladang tersebut dan Dialah yang menguasai dan memiliki segala-galanya.

Mengingati kematian akan menyedarkan kita untuk bermuhasabah dengan apa yang kita lakukan. Ia juga sebagai salah satu brek agar kita tidak terus terleka dan tidak terbabas dari landasan. Orang yang mengingati mati adalah orang yang kenal siapa dirinya dan bijak menilai hakikat kehidupannya yang sebenar. Mereka inilah yang sentiasa peka dan ingat segala misi dan visinya sebagai hamba Allah s.w.t. Cerdik menimbang dan merencana sesuatu fasa kehidupan masa akan datang yang meskipun tidak terzahir.

Berbanding orang kafir dan mereka yang lalai, kematian adalah satu noktah atas segala kenikmatan yang dikecapi di dunia. Segalanya perlu ditinggalkan dan ianya sangat kejam dan menyakitkan. Padahal ada nikmat yang tiada berguna bagi dirinya di dunia lagi. Apalah erti kereta mewah sekiranya tidak dapat memandu kerana rabun dan tiada daya. Apalah erti makanan yang lazat sekiranya di meja makan hanya berulamkan segala macam pil dan ubat.

Nabi s.a.w pernah ditanya oleh seorang lelaki, “Siapakah orang yang paling cerdik di kalangan orang yang beriman?” Jawab Rasulullah s.a.w, “Orang yang paling cerdik ialah mereka yang banyak mengingati mati dan banyak membuat persiapan untuk menghadapi mati.” Amat benarlah orang yang mengingati mati adalah mereka yang dikira bijak oleh Rasullullah s.a.w. Mereka adalah orang yang sentiasa terfokus dalam kehidupannya dan berani menerima hakikat kematian itu sendiri. Rasulullah s.a.w juga pernah mangingatkan dengan sabdanya:

عن أبي سلمة عن أبي هريرة؛ قال: قال رسول الله صلى الله عليه وسلم:
أكثروا ذكر هاذم اللذات”
يعني الموت”

“Hendaklah kamu memperbanykkan mengingati akan perkara yang meleburkan kelazatan hidup (iaitu mengingati mati).” Riwayat Ibnu Majah dan Tarmizi

Lazatnya dunia membuatkan manusia terleka dan terlupa hakikat dirinya sebagai hamba. Mati di waktu tenaga yang penuh upaya dan kekayaan yang melimpah adalah kerugian besar bagi mereka. Segalanya terpaksa dilepaskan dan diwariskan kepada mereka yang ditinggalkan. Oleh itu fikir mereka, sebelum kematian menghentikan segalanya, lebih baik dinikmati dengan sepuas-puasnya tanpa batasan.

Namun kematian yang mulia dengan mati kerana mempertahankan agama adalah suatu yang dinantikan oleh para pencinta syuhadak. Haritsah sanggup bertempur di usia yang muda sewaktu perang Badar demi rindukan syahid kematian. Beliau sentiasa istiqamah dalam usaha menjarakkan dirinya dari neraka dan berusaha menghampiri syurga dengan berlapar dan berjaga malam. Maka hasilnya dia dijemput menemuiNya dalam usia sebegitu muda sebagai memenuhi barisan syuhadak.

Mus’ab sanggup meninggalkan segala kekayaan dan kemulian keluarganya demi cintakan Islam. Cagarannya terbayar apabila dirinya jua dijemput sebagai syuhadak biarpun tanpa kain kafan yang cukup menutupi tubuhnya. Peristiwa yang membuatkan Nabi s.aw dan para sahabat berlinangan air mata. Ramai lagi barisan mereka yang gugur syahid atau mati mulia setelah mereka sedar kehidupan ini bersifat sementara. Mereka sentiasa menyedari tugas sebenar yang perlu dilaksanakan di dunia ini dan bersungguh melaksanakannya.

Hakikatnya marilah kita merenung sejauh manakah persiapan kita menghadapi kematian. Apakah cukup cahaya yang akan di bawa menerangi persemadian kita dan apakah bekal yang di bawa untuk menemuiNya nanti? Apakah dalil rasa kecintaan kita kepada Allah dan RasulNya? Cukupkah ilmu dan harta yang telah diinfakkan dan sejauh manakah anak-anak kita menjadi anak soleh yang sentiasa mendoakan kita nanti? Layakkah amal kita untuk ditimbang sebagai amal soleh dan dapatkah kita bertemu dengan Allah s.wt dalam penuh keredhaanNya? Itulah suatu pertemuan yang sangat dinanti-nantikan oleh kita sebagai hamba dan limpahan rahmatNya yang menjadi visi kehidupan kita selama ini. Saya cuba jua merenungi Firman Allah s.w.t :

فَمَن كَانَ يَرۡجُواْ لِقَآءَ رَبِّهِۦ فَلۡيَعۡمَلۡ عَمَلاً۬ صَـٰلِحً۬ا وَلَا يُشۡرِكۡ بِعِبَادَةِ رَبِّهِۦۤ أَحَدَۢا

“Oleh itu, sesiapa yang percaya dan berharap akan pertemuan dengan Tuhannya, hendaklah dia mengerjakan amal yang soleh dan janganlah dia mempersekutukan sesiapapun dalam ibadatnya kepada Tuhannya.” Kahfi :110

Jangan pula kehidupan kita sampai pada satu tahap tidak dipandang dan dibiarkan oleh Allah s.w.t seperti firmanNya :

فَنَذَرُ ٱلَّذِينَ لَا يَرۡجُونَ لِقَآءَنَا فِى طُغۡيَـٰنِہِمۡ يَعۡمَهُونَ

“Kami biarkan orang-orang yang tidak menaruh ingatan menemui Kami itu meraba-raba dalam kesesatannya.” Yunus :11

3 thoughts on “Hakikat di Sebalik Keimanan Michael Jackson

    alquds said:
    July 21, 2009 at 8:25 pm

    Wallahu’alam..tapi satu pengisian yang sangat baik..jzkllh

      tintataghyir responded:
      July 29, 2009 at 11:44 am

      Berita-berita akhir ini seperti tidak menyokong kenyataan agama beliau. Wallahua’lam dan saya lebih ingin menyatakan hakikat iman itu sebenarnya dalam kehidupan kita. Terima kasih kerana membantu usaha ini.

    rafiqunnahar said:
    July 31, 2009 at 3:18 pm

    sAlAm ustaz..ary 2 ade crAmAh drpd ustaz Nor Azman bin Mohd..dia sde mnyatakn tntg sbuah pnmuan bru tntg jacko..jacko mliht abgnya tntram dlam IslAm..llu bliau mmluk IslAm..bliau mau mmbuat konsert di London,konsert trhbat abad ney,untk mgummkn keislamannya..bliau mti ktka mmbuat ltihan..diktakan dye mty ndbnuh olh CIA / FBI..dtmui ksan sntikan yang bnyk pd jsdnya..ia dprcyai dlkukan scra paksa..

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s