Natrah Yang Memilukan

Posted on Updated on

Buku kisah NatrahKematian Natrah bagai mengguris dan mengungkit  semula memori kesedihan pilu kita terhadap penindasan agama dan bangsa kita suatu masa dahulu. Cuma khabar kali ini menoktahkan perjalanan hidupnya yang pengakhirannya tidak seperti kita harapkan. Natrah cuma simbol di sebalik kecintaan bangsa kita terhadap agama suatu masa dahulu. Seramai 18 orang  mati dan 173 lagi cedera parah ketika berlakunya rusuhan atas bantahan terhadap kehakiman ketika itu di Singapura. Mereka semua bukannya ada pertalian dengan Natrah, tetapi bangkit atas rasa keagamaan yang tercabar dan perasaan ingin menyelamatkan akidah seorang wanita muslimah.

Sayang Natrah tidak melihat kesemua itu untuk membalasnya dengan kembali (secara zahir) kepada pencarian fitrah yang sebenar. Bagi generasi remaja sekarang mungkin ada yang buta sejarah Natrah kerana jarang sekali didedahkan.

Saya bernasib baik apabila Dewan Masyarakat di awal 90an pernah mengenengahkan isu ini dalam beberapa siri yang panjang. Isu ini jugalah yang telah menaikkan semula peranan majalah tersebut di mata masyarakat ketika itu. Penyelidikan dan penulisan ini telah diusahakan oleh Datin Fatini Yaacob, bekas wartawan Dewan Masyarakat (kini Karyawan Tamu UTM), yang mendedahkan kisah berkenaan secara terperinci sehingga membawanya bertemu dengan Natrah di Belanda.

Gambaran ini ditambah pula dengan tayangan filem Jasmin 1 (1984) dan Jasmin 2 (1986), terbitan bekas Pengerusi Utusan Malaysia Tan Sri Kamarul Ariffin yang mana kedua-dua filem ini berdasarkan kisah sebenar Natrah. Filem arahan Datuk Jamil Sulong ini pernah juga ditayangkan di kaca televisyen. Sempat juga sebuah kumpulan rock handy black menyanyikan lagu yang  bertemakan  kisah Natrah yang tidak silap bertajuk Natrah, namun diharamkan.

Apa yang saya ingat, melalui cerita guru-gurunya, bekas suami (sempat diwawancara sebelum meninggal dunia) dan rakan-rakannya, Natrah adalah seorang anak gadis yang baik dan sempat mengkhatamkan al-Quran beberapa kali. Ibu angkatnya Che Aminah berasal dari Terengganu. Dia  amat menyayangi Natrah dan mendidiknya sebagai seorang muslimah yang baik..

Rusuhan di SingapuraNamun kesemuanya berakhir apabila Natrah dipujuk datang ke Singapura dan diambil oleh ibunya dengan tipu muslihat. Beberapa rentetan telah berlaku dan Natrah sempat dikahwinkan dengan seorang guru bernama Mansor Adabi . Namun akhirnya usaha ibu bapa kandung Natrah telah dibantu oleh badan kehakiman pada masa itu apabila perkahwinannya dipertikaikan atas alasan umur.

12 Disember 1950, hakim menjatuhkan hukuman bahwa Natrah mesti dikembalikan kepada ibu bapa kandungnya di Belanda. Bapanya pula diberikan  hak dalam menentukan agama anaknya. Natrah telah dihantar pulang ke Belanda, dan seterusnya dijadikan Katholik secara paksa.

Sampai di Belanda, Natrah dipaksa ke gereja dan mengamalkan hidup kristian. Ketika inilah puncak tekanannya akibat dipaksa meninggalkan agama ditambah dengan kerinduan yang mendalam terhadap ibu angkat dan suaminya. Biarpun sangat terseksa, akhirnya keimanannya rapuh jua. Dia menempuh pelbagai dugaan  dalam hidupnya sehinggakan Natrah pernah dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan cuba membunuh suaminya Johan Gerardus Wolkenfelt pada pertengahan tahun 70-an.

Ketika wartawan menemuinya, beliau tidak lagi beramal dengan ajaran dan tuntutan Islam, meskipun masih merindukan kehidupan sewaktu kecilnya dahulu. Melalui perkongsian hidupnya di sana, Natrah telah dikurniakan ramai anak.

Banyak sekali perkara yang terungkap di sebalik pendedahan kisahnya ketika itu. Rasanya bagus jua kalau Dewan Masyarakat sudi berkongsi semula segala kisah Natrah ini. Bukan hanya sebagai tatapan tetapi juga untuk diambil iktibar.

Natrah memang asli orang putih, cumanya diserahkan kepada ibu angkat beragama Islam yang akhirnya dirampas semula tanpa kerelaan. Namun sekarang banyak juga kes yang melibatkan hubungan darah tetapi anak dirampas apabila berlaku penceraian dalam perkahwinan. Perkahwinan yang melibatkan dua bangsa yang akhirnya berpisah dan kemudian kembali berbeza agama.

Kes Raja Bahrin pernah menggemparkan kita suatu masa dahulu dan misinya telah berjaya. Kes seorang pemuda Pulau Pinang, tidak tahu apa kesudahan anaknya yang di bawa lari oleh bekas isterinya. Teringat jua keluhan seorang penyanyi veteran lagu asli (sudah meninggal dunia) yang di usia tua baru terkilan kerana tidak tahu apa perkembangan anaknya hasil perkahwinannya dengan bangsa asing. Mungkin banyak lagi kes yang tidak dilaporkan yang melibatkan akidah anak tergadai.

Kerajaan perlu kukuhkan institusi kehakiman di negara ini. Hak agama perlu diutamakan biar apa slogan sekalipun yang dilaungkan. Biar perpaduan apa sekalipun didambakan, namun agama tidak boleh dipermainkan dan diubah sewenang-wenangnya. Tutup dan baiki segala kelemahan agar pegangan tauhid tidak dicabuli meskipun anak kecil atau remaja. Walau apa terjadi, Ibu bapa muslim wajib berusaha untuk menjaga akidah anaknya agar tidak tegadai walau dengan apa cara sekalipun.

Antara Pengajaran:

1. Seseorang yang pernah merasa nikmat Islam atau dibesarkan sebagai Islam, sekiranya lari dari fitrah suci ini, maka tiada lagi ketenteraman dan ketenangan hakiki selagi tidak pulang ke  pangkuan Islam. Sekalipun nikmat itu dirasai ketika kecil ia tetap akan terkesan sehingga akhir hayat. Inilah yang berlaku kepada Natrah yang malang dan ingatan kehidupan kecilnya dan keluarganya di Malaysia sangat kuat hingga ke akhir hayat.

2.Semangat kecintaan dan perasaan umat Islam bersaudara telah membangkitkan rusuhan pada waktu tersebut. Ketika itu umat Islam begitu tercabar apabila akidah seorang anak gadis diragut, namun sekarang murtad bagai tidak cukup tangan untuk menanganinya dan bagaikan tidak cukup buih mulut menasihati. Natrah tidak rela dan terpaksa tetapi sekarang ada yang keluar dengan penuh kerelaan. Pergilah hujung dunia mana sekalipun mereka tidak akan sesekali mencapai ketenangan dan kebahagiaan hakiki di dunia lagi.

3. Betapa bersungguhnya golongan kristianisasi dan orang kafir untuk menanggalkan akidah seorang anak gadis. Namun akhirnya Natrah ditinggalkan dengan penuh tekanan dan tercari-cari arah selepas misi mereka berjaya. Biarpun nampak seperti berjaya namun mereka kalah dalam membuktikan agama mereka lebih baik apabila melihat kecelaruan hidup Natrah itu sendiri dan dia bukanlah menjadi pengganut agama yang baik. Jauh dibandingkan semasa Natrah dibesarkan oleh Che Aminah dan akuinya, waktu kecillah kehidupannya yang sebenar.

Maka melihat pengakhiran hidup Natrah, bersyukurlah kita dengan nikmat tauhid yang dikurniakan. Moga kita dan anak cucu kita tetap dalam keimanan ini sehingga kita dijemput bertemu denganNya. Tiada apa pun doa yang dapat dikirimkan kepada Natrah kerana beliau sudah lama menjadi keluarga Hertogh. Sayang Natrah tidak berjaya membuat u-turn untuk kembali kepada fitrah dan cahaya yang sebenar. Sungguh Natrah amat malang dan melihat raut-raut  wajahnya sahaja boleh menitiskan air mata kita tanpa disedari. Moga masih ada rasa keimanan walau sekelumit dalam dirinya ketika  menghembuskan nafas yang terakhir.

Kronologinya boleh dibaca di Wikipedia

2 thoughts on “Natrah Yang Memilukan

    najib said:
    July 12, 2009 at 10:11 pm

    al-hamdulillah kita masih dapat nikmat iman dan islam tapi ramai yang lupa jasa mereka yang terdahulu

    tintataghyir responded:
    July 12, 2009 at 10:33 pm

    Akidah kena mantapkan pada generasi muda. Betapa ramai yang hanya tahu Islam itu cukup dengan menyambut hari raya.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s