Gapai Cita-cita Bukan Dengan Jiwa Hamba

Posted on Updated on

Universiti al-Azhar Tanta, MesirInfo gambar : Tingkat 3  itulah pejabat urusan kuliah Al-Quran, berurusan dengan muka simpati, tempat ambil kitab dengan pakcik cengil, ambil duit sumbangan dengan muka berseri dan macam-macam lagilah.

(Sambungan entry Kita Selesa Dengan Mudah)

“Ustaz, betulkah  sambung belajar kuliah di Tanta, selepas habis Shoubra itu, paaaayah sangat?” Beberapa siswa ITQAN bertanya pada saya.

“Siapa kata?”

“Adalah seorang ustaz itu. Baru-baru ini dia beritahu dalam kelas, jangan haraplah sambung belajar di Kuliah al-Quran, Tanta. Terlalu susah katanya. Belajarnya terlalu banyak, hafalan al-Quran  kena cair habis, bahasa Arab perlu kukuh.”

Saya tersenyum. Kasihan pelajar-pelajar ini, disogokkan dengan jiwa hamba oleh mereka yang berjiwa hamba.

“Kamu tengok ustaz cukuplah. Bukan pandai manapun. Dulu mengajar pun tidak ramai yang datang (ayat masih terasa hati ni)”

“Ustaz itu kata pada kita orang, buat apa belajar susah? Mesti kita semua hendakkan belajar kita mudah” seorang pelajar mencelah.

Ceh! Analogi hamba lagi, yang diputar belit agar jiwa penakut tidak kelihatan. “Kita, mahu harungi yang susah menjadi mudah, bukannya kita selesa mudah dengan apa yang mudah,” tegas saya. Angin juga mendengar kata pesimis sebegitu. Kalau sendiri tidak berani, jangan padamkan harapan next generation.

“Ustaz buatlah ceramah hala tuju untuk kami. Cerita sedikit gambaran belajar di Shoubra dan Tanta. Ataupun bidang apa yang sesuai untuk kami dan universiti mana yang terbaik.”

Akhirnya terkabul jua permintaan mereka dan hasrat saya untuk mengubah sedikit paradigma mereka. Paradigma hamba yang sering tertanam dalam jiwa muda mereka. Mereka sudi menjemput saya untuk ceramah hala tuju versi saya. Sebelum ini bukan tidak pernah bertanya pada pelajar yang akan menyambung belajar ke Maahad Shoubra,  “Tidak berminatkah memilih pengajian lain?”

Jawab mereka yang dangkal bunyinya, “Minat ustaz, tetapi tidak beranilah sebab susah.” Aduh, STAMnya sudah Imtiyaz, tetapi masih tidak cukup berani.  Puas saya memberikan gambaran dan semangat, namun tiada siapa yang berani menongkah perubahan ini. Cukuplah belajar di Shoubra, bila balik terus diiktiraf sarjana muda.

**************************

“Anta tahu tidak? Ada pelajar Shoubra yang tidak diterima sambung PHD” seorang rakan melaporkannya kepada saya baru-baru ini.

“Sebab apa pula jadi begitu?”

“Sebab degreenya sijil Shoubra!”

Saya berkesempatan berjumpa dengan rakan tersebut yang memang pernah menjadi rakan serumah di Mesir. Sempatlah saya bertanya hal kesahihan cerita tersebut. Memang benar, tetapi sekarang permohonan beliau sudah diterima. Namun, itupun setelah dihempas siji tersebut, diperlekehkan dan dia bermati-matian berhujah, yang akhirnya terpaksa membuat rayuan.

Teringat saya di awal-awal saya menyambung sarjana di sini, saya pernah berjumpa dengan seorang doktor pensyarah untuk mendapat pengesahan salinan sijil. Dia bertanya kelulusan saya dan gembira apabila mengetahui saya memiliki syahadah (sijil) Kuliah al-Quran di Tanta. Terkeluar jugalah perbincangan mengenai Shoubra.

Lantas saya bertanya, “Kenapa sijil Shoubra ramai yang pertikaikan? Bukankah sudah diiktiraf oleh JPA?”

“Asalnya hanya untuk penyelarasan gaji. Iktiraf bagi pekerjaan, bukan untuk akademik” jawabnya bersungguh-sungguh.

**************************

Nasib baik saya sempat sediakan beberapa bahan untuk slot hala tuju tersebut. Alhamdulillah kesemua siswa dan siswi ITQAN sanggup hadir meskipun saya bukanlah orang baru bagi mereka. Ceramah di tempat yang memberi seribu pengalaman sebagai seorang guru pastinya terhimbau kenangan lalu. Apatah lagi baru beberapa bulan meninggalkan bumi huffaz tersebut.

Namun pedulikanlah segala kenangan, sakit perit, pahit maung dan sindir kutuk semua. Yang penting kena fokus dengan apa yang ingin disampaikan. Ingin sekali saya melihat keterbukaan dan keyakinan pelajar untuk menggenggam apa yang mereka cita-citakan. Bukan lembik terendam ketidakyakinan atau terhenyak dengan kata-kata pesimis ynag membunuh harapan.

Saya bukan pakar motivasi, susunan ayat bagai mengejar atau menjadi bintang. Jauh sekali lontaran kata yang terlalu meyakinkan, dibantu memek rupa dan ingin bermain dengan intonasi. Cumanya slot ini, saya hanya ceritakan sahaja mengikut pengalaman diri. Saya bentangkan apa yang belajar di Shoubra dan akhirnya di Tanta. Apa kekuatan untuk bertahan dan apa kelemahan yang perlu dihindarkan. Mereka kelihatan terkejut, kagum dan mula merasa rendah diri semula.

Saya tekankan semula, biarpun semuanya nampak susah, namun kena tanamkan azam mulai sekarang. Azam kena ada meskipun belum tentu kita menggapainya kecuali dengan izinNYa. Pahala pun dapat. Bukankah Allah Ta’ala puji mereka yang pulang dengan air mata setelah ditolak azam mereka untuk  berjihad kerana tiada apa-apa kemampuan?

Mulakan segala persediaan dari sekarang. Jadikan rasa kesusahan sebagai satu cabaran. Kena berani menongkah arus pemikiran hamba. Janganlah cita-cita terhalang dengan jiwa yang penakut atau belajar hanya terikut-ikut.

**************************

“Kamu jangan risau, di Shoubra nanti, apa yang tertahan di ITQAN, semua dapat rasa. Kalau mahu hias Friendster atau tambah kenalan maya pun banyak masa. Janganlah khuatir,” sindir saya bernada serius di dalam slot tersebut. Namun mereka ketawa, tetapi jangan sampai ketawakan diri sendiri.

Saya cuba berfikir dan imbas pengalaman mengikut pemikiran seorang pelajar biasa. Dalam hal belajar, kita sukar untuk mencari sesuatu yang lebih melainkan apa yang terhidang dan terpaksa dihabiskan. Tidak semua yang sanggup melukut di jubah syeikh-syeikh menadah ilmu tambahan. Berebut-rebut memanjat bas atau menyelit-nyelit di bawah ketiak Arab dalam metro. Semata-mata untuk bertalaqi di masjid Azhar, lantaran tidak merasa cukup dengan muqarar yang ada. Maka saya juga antara yang terkalah dengan suasana. Pelajar kuliah sendiri,  berapa ramailah yang habis menghafal al-Quran di Mesir.

Rata-rata apa yang seronoknya, senggangnya penuh dengan aktiviti gaya bebas. Menonton pasukan bola pilihan beraksi lincah di skrin. Khusyuk menonton filem Inggeris terbaru  atau segar mengikuti daurah drama Melayu atau Asia bersiri. Melatih not-not gitar agar skill tidak sumbang.

Melayan mad’u-mad’u yang cantik molek di dunia maya atau di portal-portal sembang kelolaan muslimah yang berpurdah(penangan Ayat-ayat Cinta) lagi. Atau sendirian mengayat kata-kata peransang pada seorang insan harapan, bagai seorang ‘Fakhri’  konon, di talian.  Malah lebih hebat sekarang sudah ada yang berani berjanji di KFC atau bertemu di tepian pantai Alex.

Itu belum lagi yang sibuk jawatan dan berpolitik. Jalan pun mendada biarpun kopiah atas kepala. Mesyuarat sana sini, tarbiyah entah ke mana. Janji mesyuarat akhawat ada sekali bersama. Apabila tiada jawatan usrah pun terputus talian, bisnes pula jadi igauan dan impian. Namun benci dan hasad masih tersimpan, terhadap usaha dakwah puak sembarangan yang lain lencana dan gerakan.

**************************

“Sebab apa belajar Shoubra?”

“Sebab kawan-kawan semua belajar di sana.”

“Sakit hati tidak bila orang lain pertikaikan Shoubra?”

“Sakitlah. Kenapa  pula hendak dibeza-bezakan kita orang? Kenapa tidak lulus kita pula yang diperlekehkan? Tidak patut, tidak patut. Tidak paaaa…tut.”

Namun bagi saya sakit hati tidak cukup, kena buktikan. 15 madah, 16 madah, 17 madah di tahun ketiga dan akhir kuliah Tanta bukan penghalang. Belajar ini macam orang berlatih lari di padang. Kena cari padang luas untuk kita menambah stamina dan persediaan. Padang kecil kita akan berlari lewa meskipun ada ruang untuk meningkat mutu larian.

Pengorbanan sudah tentu. Kesulitan sudah pasti. Kebosanan tentunya hadir dan patah semangat lagilah menunggu. Namun saya tidak mahu hanya kemenangan yang diperlekehkan. Trofi yang dipertikaikan. Kebolehan yang hanya di pandang sebelah mata cuma. Harapan jangan diabaikan.

Bukan untuk dipuji tetapi ikutlah gerak hati untuk mencapai sesuatu yang kita kagumi. Sesuatu yang dicita-citakan. Kena buanglah jiwa kehambaan. Seorang hamba sukar untuk menerobos kelebihan diri. Hanya mengikut arahan dan tidak mampu mencipta suasana. Sebab itu di akhir zaman feudal ramai yang ingin kembali menjadi hamba sekalipun dilepaskan. Hanya kerana keterbiasaan yang sukar dikikis.

Tidak mahulah lagi zaman teraba-raba. Itu zaman saya. Menunggu dan sambar sahaja apa yang di depan mata kerana sukar mencari info dan tiada yang memberitahu, apatah menasihati. Bukan info mengenai pengajian sahaja tidak tahu, gambaran Mesir itu sendiri kosong. Sebab itu contoh mudah ada yang pergi berjubah dan berkopiah putih ke Mesir. Fikirnya budaya Mesir sebegitu. Padahal punyalah sukar mencari kopiah putih di sana. Itu belum lagi yang bawa sekali bawang putih dan merah berbungkus atau cemas kena tahan di airport Malaysia kerana bawa buku lima (cerita benar).

Namun sekarang dunia informasi, maka carilah segala maklumat bidang apa yang patut diterokai dan buatlah segala persediaan untuk menggapainya. Bermula dari sekarang. Ambil segala peluang yang ada. Wujudkan satu komuniti baru yang ada anjakan. Berani buat perubahan. Baru ada kekuatan agar kualiti ditingkatkan. Bukan untuk kita sahaja, namun untuk agama jua akhirnya nanti.

Apabila berjaya nanti, emak ayah juga yang bangga. Guru tasmik? Pastinya bangga dan bongkak habis. Maka berhamburlah keberkatan yang ditahan-tahannya selama ini gara-gara kedegilan mengambil STAM dahulu. Saya sendiri? Tidak mahu mengaku saya bekas guru pun tidak mengapa. You can do it.

11 thoughts on “Gapai Cita-cita Bukan Dengan Jiwa Hamba

    ibnabdhalim said:
    August 6, 2009 at 1:03 pm

    salam…
    syukran ustaz..doakan kejayaan saya dan rakan2..
    saya khairul sabirin abd halim..murid pendidikan quran sunnah ustaz form 4 marin..2007..

    abdnafiq said:
    August 8, 2009 at 10:28 am

    kesimpulan yg sy dpt,walau kt mane kite sekalipun,iman dan tekad perlu dipelihara..walau kita berada di bumi nabi sekalipun,xsemestinya pengaruh2 buruk xdpt meresap dlm diri..doakan sy diteguhkan hati dan semangat di bumi Kinanah ust..flight sy 2september pkul 11.30 pg,insyaAllah..transit sehari kt abu dhabi

      tintataghyir responded:
      October 1, 2009 at 1:15 am

      Moga masih kukuh dengan janji dan harapan pencarian.

    ur student.('',) said:
    September 12, 2009 at 5:44 pm

    MABRUK alaika ustaz,dh trima twrn krja..dh x dlm dlema nk buat plihn dh.

      tintataghyir responded:
      October 1, 2009 at 12:39 am

      Alhamdulillah Allah bukakan jalan di saat akhir. Moga segala janji dan harapan dapat dikotakan.

    khairulamirin said:
    September 22, 2009 at 8:39 am

    syukran ustaz atas kata2 perangsang yg ustaz berikan 2… semoga ustaz dpt meneruskan perjuangan & memotivasikan semangat student2 skrg terutamanya saya.. doakan saya supaya tidak terikut dek ikutan nafsu & syaitan dan doakan saya dan kwn2 juga dlm spm 09….

      tintataghyir responded:
      October 1, 2009 at 12:37 am

      Syukran atas doa dan harapan yang sangat baik. Ustaz biasa sahaja, ada masa terkalah juga, namun potensi dan semangat yang kadang-kadang tiba jangan dibiarkan di luar pagar hati. Moga antum semua berjaya dalam SPM dengan cemerlang.

    adibunsaufa said:
    October 24, 2009 at 3:50 am

    Assalamualaikum Ustaz
    Wah, memang baguslah Ustaz..Bila baca post Ustaz nie, baru saya bersemangat balik. Saya belajar Mansoura je, tapi itu pun dah rasa lemah je bila dengar ada yang cakap Qiraat susah..Tapi saya nak cuba pegang kata-kata Ustaz-Belum cuba belum tahu. Di mana ada kemahuan di situ ada jalan. Jadilah peneroka anda akan menjadi hebat…InsyaAllah, Ustaz doakan saya, mudah-mudahan saya kuat disini, dan dapat mendalami dan mengamalkan ilmu yang dipelajari..Aminn….

      tintataghyir responded:
      December 7, 2009 at 2:32 pm

      Mesir bukan hanya belajar ilmu, tetapi belajar segalanya termasuk mengenal diri sendiri. Itu yang kamu kena faham dan sedar. Apa cerita kalau belajar hebat tetapi interaksi dengan ahli bait tidak bagus? Jawatan hebat, tetapi di rumah masak malas? Dakwah laju tetapi fikrah sempit?
      Jadi, cuba optimumkan segala ruang yang ada dan segala individu yang kita kenal untuk menambah kebaikan dan baiki kesilapan.

    amir said:
    July 22, 2014 at 2:59 am

    salam..apa pandangan ustaz seandainya selesai belajar di shoubra, kemudian sy sambung di tanta dlm masa yg sama sy sudah berkeluarga (nikah)? adakah itu nnti akan mengganggu fokus belajar kerana byknye matan yg perlu dihafal, byknye subjek yg perlu dipelajari dab..ada tak pelajar yg sambung di tanta dah kawin masa belajar di tanta?

      tintataghyir responded:
      August 7, 2014 at 12:19 pm

      Wa’alaikumussalam. Tak sangka ya, artikel ni masih menjadi rujukan. Lama dah ustaz tinggalkan penulisan ini dan akhirnya terpanggil semula untuk membukanya kerana soalan yang anta ajukan. Pengalaman ustaz memang ada kawan ketika sama belajar di Tanta dahulu sudah berkahwin. Ada yang tinggal bersama dan ada yang ditinggalkan di sini. Malah ada yang lulus dengan baik.
      Pendapat peribadi apabila kita bekeluarga, rasanya ia lebih terfokus ketika belajar. Cuma pastikan pasangan itu pilihan yang tepat. Memahami dan mendokong. Begitu juga sokongan kedua-dua pihak belah keluarga sangatlah perlu. Jika tidak, sangat sukar untuk kita fokus dan konsisten.

Leave a reply to khairulamirin Cancel reply