Tidak Serupa Dentingan Loceng

Posted on Updated on

Ketika belajar dahulu, saya pernah menyewa sebuah rumah apartment enam tingkat yang berdekatan dengan sebuah gereja. Apartment yang  bertentangan dan menghadap bilik saya, betul-betul bersebelahan serta berkongsi dinding dengan gereja tersebut. Maknanya selama dua tahun, hari-hari telinga saya disumbat dengan dentingan loceng-loceng. Menariknya di sebelah gereja pula ialah masjid yang hanya dipisahkan dengan lorong kecil, yang mana pintu masuknya benar-benar bertentangan dengan pintu masuk gereja. Pelik bukan? Saya tidak terfikir Malaysia boleh buat sebegini untuk waktu sekarang.

Namun, Alhamdulillah walau telinga saya sudah lali dengan bunyi loceng tersebut, tidak pernah sekalipun hati saya terpesona dengan bunyian tersebut. Ini berbeza dengan laungan azan yang juga kuat berkumandang dari corong menara masjid sebelahnya. Biarpun azan tersebut lazimnya tiada memberi kesan yang nyata atau selalu buat dono sahaja, namun sekali sekala ia menyentuh juga hati yang terleka. Seakan-akan ada rasa perasaan yang lain macam apabila menghayatinya dan ia sukar diterjemahkan. Malah di Mesir selalunya meriah dengan seruan azan yang saling bersahutan dari setiap corong masjid-masjid yang sangat berdekatan.

Tahukah kita bagaimana seruan azan ini disyariatkan? Seruan yang mana telah menghilangkan kerisauan nabi mengenai masalah untuk mengumpul dan menyeru muslimin bersolat. Sekali sekala mari kita ambil tahu juga sesuatu yang sudah menjadi tegal biasa pada kita. Dari mana dan bagaimana asal usul syariat azan ini bermula perlu juga diketahui. Jangan remehkan alunan azan ini, kerana betapa ramai yang terbuka hatinya menerima hidayah bermula dari mendengar azan. Jika kita berada di Eropah atau negara-negara bukan Islam, alunan inilah yang akan kita rindukan.

Setelah berhijrah dan sampai ke Madinah, antara yang nabi lakukan ialah membina masjid. Setelah itu timbul masalah bagaimana cara untuk mmberitahu waktu solat dan mengumpulkan muslimin untuk bersolat. Ada yang mencadangkan ikut seperti Nasrani dan Yahudi yang menggunakan beberapa peralatan yang berbunyi sebagai cara untuk menyeru sembahyang. Akhirnya mereka sepakat melantik Bilal hanya untuk menyeru orang muslimin berkumpul dan bersolat.

Mengikut riwayat  Abu Umair bin Anas, ketika nabi masih dalam gelisah memikirkan cara untuk menyeru solat,  baginda didatangi oleh seorang sahabat bernama Abdullah bin Zaid. Katanya, “Ya Rasulullah, semalam antara tidur dan sedar aku bermimpi didatangi oleh seorang lelaki yang ditangannya ada narqus (alatan yang digunakan oleh Nasrani untuk seruan sembahyang mereka). Aku bertanya padanya, “Adakah kamu penjual narqus?”

Dia tidak menjawab dan bertanya kembali,”Apakah  yang kamu buat dengan narqus ini?

Aku menjawab, “Sebagai seruan untuk bersolat.”

Lalu dia berkata, “Mahukah kamu aku tunjukkan  yang lebih baik dari itu?”

Maka lelaki itu mengajar Abdullah satu persatu kalimah azan tersebut. Nabi membenarkan mimpi tersebut  dan menyuruh mengajarkannya kepada Bilal untuk melaksanakannya. Sewaktu azan Subuh, Bilal telah menambah    الصلاة خير من النوم    dan nabi menyetujuinya.[1] Sebenarnya Umar juga bermimpi perkara yang sama, namun ia malu untuk memberitahu nabi. Katanya, “Aku malu kerana Abdullah telah mendahului aku.”

Mengikut Qurtubi meskipun ringkas, namun azan itu telah meliputi keseluruhan akidah. Azan juga menunjukkan Islam mementingkan perpaduan dan menggalakkan jemaah. Bagaimana ia disyariatkan juga menunjukkan sikap toleransi dan pujian Rasulullah s.a.w terhadap para sahabatnya.

Syaitan pula sangat takut mendengar azan dan ia akan lari terkentut-kentut apabila mendengar laungan azan. Kemudian ia akan datang kembali dan akan lari semula ketika iqamah. Setelah selesai, syaitan akan datang semula dan mengganggu orang bersolat sehingga seseorang itu ada yang tidak tahu berapa rakaat solatnya.

Imam Thabari ada menukilkan satu kisah dalam menafsirkan ayat al-Quran:

وَإِذَا نَادَيۡتُمۡ إِلَى ٱلصَّلَوٰةِ ٱتَّخَذُوهَا هُزُوً۬ا وَلَعِبً۬ا‌ۚ

“Dan apabila kamu menyeru (azan) untuk mengerjakan sembahyang, mereka menjadikan sembahyang itu sebagai ejek-ejekan dan permainan.” al-Maidah : 58

Dari Sa’di menceritakan bahawa orang Nasrani di Madinah ada yang apabila mendengar azan, mereka mencemuh dengan berkata, “Semoga engkau dibakar api” Kemudian pada satu malam pembantunya lupa untuk memadamkan pelita sehingga pelita itu jatuh dan membakar diri dan keluarganya.[2]

Maka bersyukurlah kita dengan pensyariatan azan ini yang menjadi salah satu syiar agama kita.  Ajar-ajarkanlah dan latihlah anak-anak mengalunkan azan sedari kecil lagi, agar ia tidak malu untu mengumandangkannya apabila diperlukan. Azan bukan diukur dengan kelunakan atau sejauh mana dapat meniru lenggok azan Masjidil Haram atau Nabawi. Ia diukur cukup dengan keikhlasan dan rasa tanggungjawab. Selalulah juga kita cuba menghayati makna-makna di sebalik alunan azan dan cuba memenuhi seruan tersebut dengan kadar yang segera. Moga ianya tidak hanya berlalu begitu sahaja di cuping telinga. Itulah seruan pertama yang dibisikkan kepada kita setelah kita dilahirkan kelmarin.


[1] Riwayat penuh oleh Abu Daud, Shahih Sunan Abu Daud li al-Bani. hlm. 469. Al-Bani mengatakan hadis ini Hasan Sahih.

[2] Ibnu Jarir al-Thabari, Tafsir al-Thabari. Jil. 10,hlm. 432 dan ditahqiq oleh Mahmud Syakir

3 thoughts on “Tidak Serupa Dentingan Loceng

    […] Subuh, Bilal telah menambah    الصلاة خير من النوم    dan nabi menyetujuinya.[1] Sebenarnya Umar juga bermimpi perkara yang sama, namun ia malu untuk memberitahu nabi. Katanya, […]

    Shafikah said:
    June 25, 2010 at 3:33 pm

    Alhamdulillah,daripada syariat seruan azan ini sudah banyak saya mendapat pengetahuan,izin kan saya ‘copy’ untuk berkongsi dgn org lain…syukran..

    ismadhl said:
    November 7, 2013 at 6:19 pm

    […] Sewaktu azan Subuh, Bilal telah menambah ?????? ??? ?? ????? dan nabi menyetujuinya.[1] Sebenarnya Umar juga bermimpi perkara yang sama, namun ia malu untuk memberitahu nabi. Katanya, […]

Leave a comment