Aku Tidak Tahu

Posted on Updated on

madinah yang bersinar ilmuKisah 4

Sesampainya dia di pintu kota Madinah,  pemuda itu berasa seperti  sangat lega. Masakan tidak, sekian lama dia telah bermusafir selama berbulan-bulan, demi melaksanakan amanah yang ditanggungjawabkan kepadanya. Juga betapa terujanya dia yang ingin sangat berjumpa dengan seorang ulamak yang sangat terkenal. Pasti segala persoalan yang dibawanya akan dapat dijawab dengan mudah dan jelas.

Tanpa memikirkan keletihannya,  beliau terus menanyakan orang-orang di kota , di manakah beliau boleh berjumpa dengan ulamak tersebut. Dengan mudah orang ramai menunjukkan di mana ulamak tersebut berada. Semua penduduk kota Madinah sangatlah mengenali Imam Malik, imam yang sangat tersohor dengan keluasan ilmunya. Bahkan kota Madinah sangat terkenal sebagai kota ilmu dan sering didatangi golongan yang mencintai ilmu.

Akhirnya ketemu juga pemuda itu dengan Imam Malik yang ketika itu sedang bersama-sama dengan anak-anak muridnya. Hatinya sangat gembira dan pasti pertemuan ini akan dapat memenuhi hajatnya yang datang dari kejauhan. Dia disambut dengan baik oleh Imam Malik, lantas pemuda itu memperkenalkan dirinya, “Saya ini datang dari Maghrib, sebenarnya saya diutuskan  oleh tuan saya untuk datang ke sini bertemu dengan tuan imam.”

“Apakah hajatnya?”

“Saya diminta bertanyakan beberapa persoalan berkaitan fatwa yang tidak dapat dijawab di tempat kami.”

“Hanya semata itu? Baiklah, tanyalah apa yang kamu ingin tanyakan.”

Pemuda itu terus menyatakan puluhan soalan kepada Imam Malik yang  berjumlah hampir empat puluh lebih.  Bertalu-talu diajukan soalan, Imam Malik tetap menjawabnya dengan tenang sehinggalah ke soalan yang terakhir. Namun yang menjadi kemusykilan kepada pemuda tersebut,   lebih kurang lapan soalan sahaja terjawab dengan jelas, manakala selebihnya  jawapan Imam Malik hanyalah menyatakan tidak tahu.

Hatinya berdetik, “Bukankah dikhabarkan Imam Malik seorang yang hebat ilmunya? Tidak malukah dia apabila dianggap sebegitu tinggi kedudukannya tetapi hanya menjawab tidak tahu? Bukankah itu akan merendahkan martabatnya?” Lantas dia bertanya, “Wahai Imam, alasan dan jawapan apakah yang akan aku khabarkan kepada pengutusku tentang masalah-maslah yang tiada jawapan ini?”

Dengan tegas Imam Malik menjawab, “Katakan kepada mereka bahawa Malik tidak dapat memberikan jawapannya.”

Pemuda itu bertambah bingung dan menyuarakan kehairanannya, “Lantas siapa yang mengetahui masalah-masalah ini?”

Jawab Imam Malik dengan tenang, “Yang mengetahuinya adalah Allah s.w.t”

Terduduk pemuda tersebut dengan jawapan yang sangat meyakinkan. Barulah dia menyedari akan kehebatan Imam Malik, yang bukan diukur dengan ilmunya semata. Tetapi terpancar dengan ketawadukannya dan amanahnya pada ilmu. Tidak sama sekali  untuk menjawab dengan berlandaskan nafsu, hanya semata khuatir goyahnya kedudukan  dikenali sebagai orang yang berilmu.

Kisah 1,2 dan 3 boleh dibaca di entry Berlagak Tahu Yang Jahil

One thought on “Aku Tidak Tahu

    ibnabdhalim said:
    August 6, 2009 at 1:36 pm

    Allahuakbar!!!

Leave a reply to ibnabdhalim Cancel reply